Pakatan Harapan (PH) Sabah menyarankan agar satu kerajaan perpaduan dibentuk di negeri itu sebagai jalan menyelesaikan kemelut politik yang melanda ekoran penarikan sokongan BN semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, tujuh Adun PH juga berkata mereka memberikan sokongan kepada kepada Hajiji Noor untuk terus memimpin kerajaan negeri selaku ketua menteri.
“Susulan sokongan ini, kami bersetuju bahawa satu kerajaan perpaduan Sabah boleh dibentuk seperti amalan di peringkat persekutuan.
“Kami berdoa agar kemelut politik akan berakhir dalam masa terdekat dan kesejahteraan rakyat Sabah terus dibela dengan sokongan ini,” kata kenyataan bersama itu.
Kenyataan tersebut ditandatangani Adun Api-Api, Christina Liew, Poon Fung Ming (Tanjung Papat), Ewon Benedick (Kadamaian), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan), Tan Lee Fatt (Likas) dan Peto Galim (Inanam).
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 27 Sep 2020, GRS berjaya membentuk kerajaan selepas memperoleh majoriti tipis dengan memenangi 38 daripada 73 kerusi dewan undangan negeri (DUN).
GRS pada masa itu ditunjangi Perikatan Nasional (PN) yang memenangi 17 kerusi, BN 14 kerusi dan Parti Bersatu Sabah (PBS) tujuh kerusi.
Warisan pula memenangi 29 kerusi DUN, manakala PKR dua kerusi dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) pula meraih satu kerusi, dengan keseluruhan 32 kerusi.
Tiga lagi kerusi DUN dimenangi oleh calon bebas.
Menurut Adun PH Sabah terbabit, mereka berasa sangat kesal dengan cubaan menggulingkan kerajaan sekarang melalui ‘pintu belakang’ ekoran langkah diambil BN semalam.
Pada masa sama PH Sabah tidak bersetuju jika DUN dibubarkan untuk membolehkan PRN baru diadakan sebagai jalan merungkai kemelut politik sekarang.
Ketika ini, kata mereka, sepatutnya fokus utama ahli politik ialah memastikan matlamat perjuangan membantu rakyat dan membangun ekonomi Sabah.
Selain itu kata Adun terbabit semua pihak perlu bersama-sama berusaha untuk memastikan perjuangan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) direalisasikan selaras dengan hasrat perdana menteri.
“Kami mengulangi pendirian kami sebelum ini bahawa kami tidak menyokong sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui cara ‘pintu belakang’,” kata mereka lagi.
“Kami berdoa agar kemelut politik akan berakhir dalam masa terdekat dan kesejahteraan rakyat Sabah terus dibela dengan sokongan ini,” kata mereka.
-Malaysia Kini