SEOUL: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin hari ini menegaskan negara itu akan menambah penempatan senjata canggih seperti jet pejuang dan pesawat pengebom di Semenanjung Korea.
Ikuti Mynewshub:Ā Telegram
Langkah itu jelasnya bagi mengukuhkan lagi latihan bersama dan perancangan operasi dengan Korea Selatan, sebagai tindak balas susulan peningkatan ancaman Korea Utara.
Keputusan itu dimaklumkan Austin selepas beliau dan Menteri Pertahanan Korea Selatan, Lee Jong-Sup bersetuju memperluaskan lagi latihan ketenteraan.
Ia termasuk menyambung semula demonstrasi ujian tembakan secara langsung dan terus menempatkan aset strategik negara Uncle Sam itu tepat pada masanya dan diselaraskan ke rantau ini, maklum pejabat kedua-dua pihak.
Austin dan Jong-Sup turut berbincang persiapan latihan simulasi antara negara sekutunya pada bulan depan, menyasarkan untuk menajamkan tindak balas mereka sekiranya Korea Utara menggunakan senjata nuklear.
Lawatan Austin ke Korea Selatan bagi mencari jaminan lebih kukuh bahawa AS akan menggunakan ‘kudratnya’ secara pantas dan tegas, bertujuan melindungi sekutu dalam berdepan kebarangkalian serangan nuklear oleh Korea Utara.
Kegelisahan aspek keselamatan Korea Selatan meningkat sejak Korea Utara menguji puluhan peluru berpandunya pada tahun lalu.
Korea Utara turut menguji keupayaan nuklearnya yang dikatakan direka untuk menyerang sasaran di Korea Selatan dan AS.
Pada masa sama, Korea Selatan dan AS juga mengukuhkan kerjasama keselamatan mereka dengan Jepun merangkumi latihan pertahanan peluru berpandu tiga hala dan anti-kapal selam beberapa bulan lalu.
Latihan tiga negara itu berlangsung di tengah-tengah provokatif menerusi ujian senjata oleh Korea Utara.
Dalam sidang media bersama selepas pertemuan itu, Austin dan Jong-Sup berkata mereka bersetuju untuk menyambung semula latihan ketenteraan berskala besar tahun lalu.
Keputusan Korea Selatan dan AS turut membabitkan latihan udara merangkumi pesawat pengebom strategik AS pada November lalu, yang berkesan menonjolkan keupayaan gabungan ketenteraan negara terbabit bagi menghalang pencerobohan Korea Utara.
“Kami mengerahkan pesawat generasi kelima F-22 dan F-35. Kami mengerahkan kumpulan penyerang kapal induk untuk melawat kawasan semenanjung. Anda boleh mencari lebih banyak aktiviti seperti itu pada masa hadapan,” kata Austin.
BHonline-