SEREMBAN : Barisan Nasional (BN) belum membuat ketetapan berhubung kerjasama yang akan dimeterai parti itu bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu ketika ini dalam peringkat menyusun dan melihat strategi yang terbaik termasuk berkenaan parti mana yang akan BN jalin kerjasama dalam pilihan raya itu nanti.
Beliau berkata, persiapan untuk hadapi pilihan raya negeri (PRN) yang perlu diadakan selewat-lewatnya Julai, mesti dibuat dengan teliti.
Bagi BN, katanya tumpuan persiapan parti adalah di peringkat jentera dahulu meliputi bagaimana cara untuk hadapi PRN serta sekutu yang sehingga kini belum ditentukan dan diputuskan lagi.
“Di peringkat parti, masih lagi menyusun dan melihat strategi yang terbaik untuk dilakukan bagi hadapi PRN yang bakal diadakan ini.
“Saya belum lagi dapat menjangkakan strategi macam mana nak buat, dengan siapa mahu berganding bahu dan juga cara mana…itu belum cerita lagi mengenai pembahagian kerusi,” katanya kepada media di sini, petang ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Graduasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri, Seremban, di Klana Resort di sini.
Mohamad yang juga Menteri Pertahanan dan Pengarah Pilihan Raya BN berkata,
kerjasama yang ada di peringkat Kerajaan Pusat termasuk bersama Pakatan Harapan (PH), berkemungkinan besar diteruskan untuk menghadapi PRN berkenaan.
“Kemungkinan besar ada (kerjasama seperti di peringkat Kerajaan Pusat).
“Apa pilihan yang kita (BN) ada…dalam keadaan begini tidak banyak pilihan. Pilihan yang ada terhad, (BN) mesti melihat pilihan mana yang terbaik,” katanya.
Timbalan Presiden UMNO itu juga berkata, BN membentuk jawatankuasa kecil bagi menjalankan bedah siasat berkaitan kekalahan teruk ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November lalu.
Beliau berkata, dapatan hasil bedah siasat berkenaan termasuk jumlah undi yang diperoleh semasa PRU15 mengikut Pusat Daerah Mengundi (PDM) akan dijadikan rujukan untuk menghadapi PRN.
Katanya, pihaknya mahu lihat bedah siasat berkenaan untuk mengenal pasti isu dan masalah yang dihadapi supaya boleh lihat cara dan strategi bagaimana menghadapi PRN berkenaan.
“Apa sebab (BN kalah), kami mahu tahu juga, tidak boleh buat hanya tutup mata, tidak boleh menidakkan apa yang telah berlaku kerana PRU15 merupakan pilihan raya terburuk dalam sejarah BN.
“BN kena melihat jalan ke hadapan, ke arah mana kami mahu pergi. Selepas kami ada asas dan melihat masalah, kami mesti menyesuaikan strategi kami dengan kekuatan dan kelemahan yang ada.
“Kami perlu perbaiki agar tidak menghadapi keputusan yang buruk sekali lagi,” katanya.
Ditanya mengenai langkah UMMO melakukan pembersihan dalaman parti, beliau sekadar menjawab secara kiasan.
“Kita ada kontraktor, bangunan UMNO sentiasa bersih dan tidak timbul UMNO tidak bersih,” katanya.
-Berita Harian