PUTRAJAYA : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menubuhkan Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional untuk berdepan pelbagai krisis, cabaran dan tuntutan baharu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata setiap agenda KPT tidak boleh tersasar daripada dasar asas dan aspirasi nasional, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Beliau berkata, tindakan di KPT dan semua agensi bawahnya perlu menterjemah aspirasi nasional secara tegas, tuntas dan tepat.
Katanya, Malaysia ketika ini, tidak lagi seperti dahulu, ketika dunia sangat cepat berubah dan ini menuntut perubahan dalam cara bekerja, berfikir dan bertindak, terutama dasar kementerian itu.
“Pelbagai pelan dan dasar kita memerlukan citra baharu. Berpasak pada realiti semasa dan merangkum kepentingan masa depan yang lestari.
“Oleh itu, sukacita saya umumkan penubuhan segera satu Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional,” katanya ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2023, di kementeriannya, pagi ini.
Sementara itu, Mohamed Khaled, berkata beliau mahu memulihkan kembali kepercayaan dalam hubungan pelbagai hala kementerian, ketika semua institusi berdepan dengan defisit kepercayaan.
Beliau berkata, seperti institusi lain dalam negara, KPT tidak terlepas daripada krisis defisit kepercayaan.
Katanya, dalam pentadbirannya, kepercayaan akan menjadi nilai terpenting, manakala rakyat Malaysia mesti percaya kepada sistem pendidikan tinggi negara.
“Betapa kepercayaan nampaknya menjadi nilai yang ‘semakin mengecil dan terpencil’ zaman ini.
“Lihat sahaja di sekeliling kita. Dalam segala penjuru, dari politik ke kerajaan, ke universiti dan sekolah atau perniagaan mahupun institusi agama. Semuanya dilanda krisis keyakinan yang sangat membimbangkan.
“Malaysia dan segala sistemnya mengalami kemelesetan kepercayaan yang sangat meruncing. Segala-galanya diragui dan dipersendakan,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, baik kepimpinan, budaya kerja malah mutu perkhidmatan, ia dilihat mempunyai muslihat, kepincangan dan kerancuan yang nyata.
-Berita Harian