JOHOR BAHRU : Kemudahan e-gate di dua pintu masuk negara di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) akan dibuka kepada warga Singapura bermula hari ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pembukaan e-gate akan memberi manfaat kepada 30,000 hingga 50,000 warga republik itu yang berulang alik ke Johor untuk tujuan sosial.
Katanya, ini antara usaha baharu dilaksanakan secara penyelesaian jangka pendek untuk mempercepatkan aliran keluar masuk di BSI dan KSAB.
“Kalau sebelum ini, e-gate hanya terhad kepada kegunaan atau pemegang pasport rakyat tempatan sahaja. Tetapi mulai hari ini kita memberikan dan membuka akses laluan masuk ini kepada warga Singapura yang menggunakan e-passport.
“Saya telah melihat sendiri kelancaran sistem ini yang mengambil masa jauh lebih singkat berbanding kaedah biasa.
“Namun kemudahan pergerakan keluar masuk e-gate kepada warga Singapura, dikenakan syarat-syarat minimum iaitu warga Singapura yang memegang e-passport dengan tempoh sah laku pasport sekurang-kurangnya tiga bulan.
“Selain menghantar Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) secara dalam talian tiga hari sebelum perjalanan dilakukan dan mengesahkan biometrik di kaunter Imigresen untuk kali pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja dan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Menangani Kesesakan di Tambak Johor di BSI, di sini hari ini.
Katanya, Jabatan Imigresen (Imigresen) akan turut memperluaskan penggunaan e-gate ini kepada negara lain yang dikategorikan kurang risiko antaranya Brunei, United Kingdom, New Zealand, Australia dan Jepun.
Menurutnya, inisiatif pembukaan e-gate kepada warga Singapura menunjukkan komitmen berterusan pihak berkuasa Malaysia khususnya Imigresen untuk membantu rakyat kedua-dua negara.
“e-gate di BSI juga akan ditambah. Ketika ini jumlah e-gate yang ada ialah 20 laluan masuk dan 20 keluar dan kita akan tambah lagi 20 laluan.
“Laluan pintu masuk ini dulu ada waktu-waktu puncaknya, tetapi sekarang 24 jam waktu puncak. Setakat ini kita belum dapat menjangkakan peratusan pengurangan kesesakan di Tambak Johor.
“Namun saya yakin dengan 20 laluan e-gate ini sudah pasti melegakan kesesakan. Peratusan terlalu awal untuk dijangkakan tapi akan dipantau kerana laluan ini menerima lebih 200,000 pengembara pada waktu puncak,” katanya.
Penggunaan e-gate kepada pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang mula dilaksanakan sejak 15 November 2022 di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sehingga 16 Januari 2023, 12,162 pergerakan keluar dan masuk oleh pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang direkodkan di KLIA.
-Berita Harian