KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad, digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Sumber parti itu memaklumkan, tempat beliau akan diambil alih Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam ini.
Hasni menerajui UMNO Johor sejak 2018 dan pada 28 Februari 2020, beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-18 menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Terdahulu, bekas Ketua Pemuda UMNO yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin dipecat keahliannya dari UMNO malam ini.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan digantung keahliannya selama enam tahun.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar yang turut digantung enam tahun, selepas MKT mempersetujui permintaannya itu malam ini.
Turut digantung, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang serta Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff.
-Berita Harian