KUALA TERENGGANU: Identiti mayat wanita yang ditemui dalam semak di Marang, Khamis lalu, dikenal pasti sebagai Zarina Mukhtar, berusia 57 tahun.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris, berkata pengesahan dibuat berpandukan kepada padanan rekod cap jari yang tersimpan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Pengesahan juga dibuat melalui Pusat Pendaftaran Penjenayah Malaysia dan Singapura (D2) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
“Dalam masa terdekat, saya akan mengadakan sidang media berhubung kes ini yang mana kita berjaya menyelesaikan kes tidak sampai satu minggu berserta tangkapan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mohd Zain berkata, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas suspek di Mahkamah Marang, esok.
Malam tadi, media melaporkan polis masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti mayat wanita berkenaan yang ditemui di Marang.
Dua individu yang hadir membuat pengecaman ke atas mayat pada Ahad lalu di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Hasil pengecaman berkenaan, mereka memaklumkan mayat itu ahli keluarga mereka berdasarkan tanda pada badan mayat dan barangan peribadi yang dikemukakan dengan beberapa bukti bergambar.
Khamis lalu, mayat seorang wanita ditemui di kawasan semak 30 meter dari jalan utama oleh orang awam yang sedang mencari daun palas.
BHonline-