Kuala Lumpur : Keahlian Muafakat Nasional (MN) kini mencecah 30,000 orang selepas lebih sebulan permohonannya untuk menyertai pertubuhan itu dibuka kepada orang ramai.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, dengan pencapaian jumlah keahlian seramai itu, tiba masanya untuk MN memulakan penubuhan perhubungan negeri dan kawasan.
“Penubuhan Perhubungan negeri akan bermula di Sabah pada 5 Februari ini.
“Ia kemudian akan disusuli Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan lain,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, malam ini.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baharu yang mula membuka keahlian kepada orang ramai mulai 10 Disember dan pada 15 Disember keahliannya hampir mencecah 20,000 orang.
Annuar sebelum ini dilaporkan berkata, pertubuhan itu kekal sebagai sebuah NGO dan tidak terbabit dalam gerakan politik.
Katanya, MN akan memainkan peranan menanam nilai serta kefahaman kenegaraan yang berasaskan tiga prinsip, iaitu kasih sayang, perpaduan dan saling menghormati.
Sehingga kini, Annuar memaklumkan empat negeri iaitu Pahang, Sabah, Selangor dan Sarawak sudah mempunyai Pengerusi Perhubungan.
“Sukacita saya mengumumkan Pengerusi Perhubungan MN Pahang ialah Nasrudin Hassan Tantawi yang juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS.
“Pengerusi Perhubungan MN Sabah adalah Jasmit Japong, Datuk Zuraida Kamarudin (Selangor) dan Datuk Justine Jinggot (Sarawak),” katanya.
-Harian Metro