Kerajaan Melaka memutuskan untuk tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam dan tertutup pada ketika ini susulan pemantauan dijalankan dalam tempoh dua minggu ini menunjukkan trend penurunan kes Covid-19 di negeri itu.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata hasil tinjauan juga menunjukkan kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat yang mengambil inisiatif memakai pelitup muka di tempat sesak dan tertutup untuk mencegah penularan virus tersebut.
“Alhamdulillah, ekoran daripada kesedaran masyarakat telah menunjukkan hasil yang baik apabila pada minggu epid terakhir 2022, negeri ini merekodkan hanya 251 kes.
“Trend jangkitan Covid-19 di Melaka terus menurun kepada 217 kes pada minggu pertama tahun ini selepas pengumuman kerajaan negeri menggalakkan pemakaian pelitup muka sebelum ini dan kes terus menurun kepada 180 kes pada minggu lepas,” katanya kepada pemberita di Seri Negeri, Ayer Keroh, di Melaka hari ini.
Mengulas lanjut Akmal berkata biarpun trend kes menunjukkan penurunan, kerajaan negeri tetap menggalakkan rakyat dan pelancong yang berada di Melaka mengekalkan pemakaian pelitup muka, menjaga jarak selamat serta menggunakan cecair pembasmi kuman atau kerap mencuci tangan.
Katanya kesedaran tinggi dan peka terhadap langkah pencegahan itu juga menunjukkan semua pihak mampu bersama mengekang penularan Covid-19, selain turut mengalakkan rakyat di negeri itu mengambil dos penggalak pertama dan kedua.
“Pengambilan dos penggalak ini merupakan antara cara meningkatkan antibodi dan orang ramai boleh mengunjungi 32 klinik kesihatan serta tiga hospital di semua daerah di negeri ini yang menempatkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara datang terus untuk dos penggalak pertama dan kedua,” katanya.
Melaka sebelum ini bercadang menguatkuasakan semula pemakaian pelitup muka di tempat tertutup serta kawasan tumpuan orang ramai sekiranya penularan kes Covid-19 menunjukkan peningkatan mendadak dalam tempoh dua minggu.
-Malaysia Kini