MELAKA : Kerajaan negeri akan terus memantau peningkatan kes Covid-19 di Melaka sebelum mewajibkan pemakaian pelitup muka sebagai langkah drastik jika memerlukan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, setakat ini peningkatan kes Covid-19 masih terkawal di mana dalam tempoh seminggu yang lalu bilangan kes masih di bawah 50 kes.
Menurutnya, sebagai langkah awal beliau menggalakkan orang ramai termasuk pelancong yang datang ke negeri ini memakai pelitup muka khususnya di tempat tumpuan orang ramai.
“Semalam sebanyak 28 kes dilaporkan dan sepanjang tempoh seminggu yang lalu bilangan kes tidak melebihi 50 kes.
“Jadi pada masa ini kita memantau peningkatan bilangan kes setiap hari dan Exco berkaitan akan membuat laporan setiap minggu pada mesyuarat Exco.
“Justeru, sebagai langkah awal saya minta orang ramai dan pelancong domestik yang datang ke negeri ini untuk menggalakkan mereka memakai pelitup muka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Monumen Bendera Gergasi di Padang Kawad Rejimen 514 Askar Wataniah, Kem Bukit Beruang di sini hari ini.
Mengulas mengenai kemasukan pelancong luar negara, Sulaiman berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan Persekutuan.
“Bukan setakat pemakaian pelitup muka digalakkan tetapi juga penjarakan sosial dan kerap mencuci tangan seharusnya dipratikkan semula,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembinaan Monumen Bendera Gergasi setinggi 166 meter dari aras laut di Hutan Simpan Bukit Beruang bakal menjadi mercu baharu tarikan pelancong di Melaka.
“Saya harap mercu tanda ini yang akan siap dibina pada 2025 akan menjadi saksi meninjau pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi dari puncak Bukit Beruang,” ujarnya.
-Utusan Online