Kuala Lumpur : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung video ceramah tular daripada seorang kakitangannya yang dipercayai menimbulkan reaksi tidak senang orang ramai.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Jakim menerusi kenyataan di Facebook semalam berkata, pegawai berkenaan sudah dipanggil untuk siasatan lanjut.
Katanya, Jakim juga sudah memulakan prosiding tatatertib terhadap pegawai berkenaan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang mencemarkan nama baik perkhidmatan awam.
“Pihak pengurusan tertinggi Jakim sedar akan video tular ceramah yang disampaikan oleh seorang pegawai itu yang dilihat mengundang kemarahan netizen,” katanya.
Terdahulu, tular video di aplikasi TikTok memaparkan seorang pegawai Jakim berjawatan Penolong Pengarah Kanan yang juga seorang penceramah mengutuk Kerajaan Perpaduan.
Ceramah berkenaan juga dipercayai dirakam di sebuah masjid di Selangor pada 2 Januari lalu yang mengandungi perihal lagu ‘Hoi, hoi ya hoi’ yang dijadikan bahan politik sebuah parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu.
Tindakan berkenaan mengundang ketidakpuasan hati netizen yang mengecam tindakan penceramah menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik dan mengutuk kerajaan.
-Harian Metro