GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan melaksanakan dasar ditetapkan kerajaan berhubung kemasukan pelancong dari China bagi mengekang penularan COVID-19 ke negara ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri bersedia mematuhi protokol ditetapkan Kerajaan Pusat dan Kementerian Kesihatan (KKM), yang akan memperketatkan pemeriksaan di pintu masuk antarabangsa (PMA), bagi pengembara luar negara, termasuk China.
“Semua tertakluk kepada perintah daripada Kerajaan Pusat dan KKM, sekiranya ada apa-apa protokol yang perlu dipatuhi, kita akan patuh.
“Setakat ini, tiada penerbangan terus dari China ke Pulau Pinang memandangkan ia sudah dihentikan sejak pandemik COVID-19 melanda,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beberapa media sebelum ini melaporkan, China akan membuka semula sempadannya pada 8 Januari ini walaupun kes jangkitan di republik itu sedang melonjak.
Sementara itu, KKM dalam kenyataan hari ini menyebut, pihaknya sedia mengubah dasar berkaitan penjagaan kesihatan pengurusan pandemik COVID-19 di sempadan negara sedia ada, termasuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan di pintu masuk negara jika perlu.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, situasi terkini jangkitan COVID-19 di negeri itu menunjukkan trend menurun sehingga 50 peratus berbanding beberapa bulan lalu.
Beliau berkata, berdasarkan laporan harian yang diterima kebelakangan ini, purata kes harian di Pulau Pinang adalah sekitar 40 kes hingga 50 kes sahaja berbanding lebih 100 kes beberapa bulan lalu.
Bernama-