KUALA LUMPUR: Pengambilan sampel air kumbahan dari pesawat boleh membantu mengesan kes COVID-19 sekiranya Malaysia tidak mahu melakukan ujian saringan virus terhadap pengembara yang tiba di negara ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Bagaimanapun, Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata ujian persampelan daripada sisa kumbahan itu hanya menunjukkan kehadiran virus COVID-19 itu dalam penerbangan, namun tidak dapat menentukan individu dijangkiti.
“Mungkin mereka yang berkemungkinan dijangkiti COVID-19 tidak pergi ke tandas, maka kita tidak dapat mengesan virus berkenaan.
“Bagaimanapun, kita mengandaikan penumpang akan pergi ke tandas sekurang-kurangnya sekali sepanjang perjalanan, termasuk mereka yang positif.
“Tindakan ini akan melengkapkan ujian ke atas penumpang,” katanya kepada BH, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkukuhkan Survelan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dengan pengambilan sampel air kumbahan pesawat dari China.
Katanya, sampel air kumbahan yang diambil itu akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian rantai polimerase (PCR) dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif COVID-19.
Ketika ditanya mengapa tidak menjalankan ujian saringan RT-PCR terhadap penumpang yang tiba di negara ini kerana keputusannya lebih cepat, Dr Zainal berkata, ujian itu memang mudah namun kurang tepat bagi mengenal pasti kes positif.
“Berkemungkinan ujian pramasuk yang dijalankan pun ada kelemahan, jadi ujian air kumbahan ini membantu pengawasan secara umum,” katanya.
BHonline-