Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim menjelaskan Pertubuhan Perpaduan Ummah yang dilancarkan di Perlis semalam bukan untuk bersaing dengan NGO Muafakat Nasional.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Bercakap pada sidang media di Arau semalam, Shahidan berkata NGO itu menerima kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada 29 Disember lalu dan bertujuan menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira parti.
“Keahlian (bagi Pertubuhan Perpaduan Ummah) akan dibuka bermula malam ini (iaitu sejurus selepas ia dirasmikan),” katanya sambil menjelaskan pertubuhan itu akan diperluaskan di semua 222 kawasan Parlimen.
“Saya difahamkan Perpaduan Ummah (ini menerima) banyak sokongan dari media sosial.
“(Untuk masyarakat dari) Parlimen yang lain (yang berminat) juga boleh teruskan (dengan mendaftar sebagai ahli), alamat individu berkenaan akan ditentukan di Parlimen mana mereka akan berada,” katanya lagi, seperti dipetik Awani Online, hari ini.
Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata Pertubuhan Perpaduan Ummah bukan ditubuhkan untuk bersaing dengan Muafakat Nasional dan dia sendiri tiada masalah dengan penggeraknya, Annuar Musa.
“Tidak ada masalah (di antara saya dan Annuar) Muafakat Nasional juga NGO, Perpaduan Ummah adalah NGO.
“Cuma kami (Perikatan Nasional) di Perlis di dalam poster (pilihan raya) sudah tulis Perpaduan Ummah, (negeri lain semua gunakan) PN Best.
“Tetapi kami tambah Perpaduan Ummah kerana sudah tidak mampu melihat perpecahan yang berlaku. Sesiapa sahaja jika hendak masuk kedua-dua NGO ini pun tidak apa, tidak ada masalah,” kata Shahidan.
Shahidan yang juga bekas menteri Umno berkata Pertubuhan Perpaduan Ummah akan menekankan kebajikan dan manifesto pilihan raya umum lalu.
“Masuk tiga atau empat (NGO) tidak beri apa-apa kesan, tetapi saya nyatakan bahawa Pertubuhan Perpaduan Ummah lebih tekankan kepada kebajikan dan manifesto supaya semua pihak selepas pilihan raya mesti bersatu padu,” katanya lagi.
-Malaysia Kini