KUALA LUMPUR: Seramai 16 saksi akan memberi keterangan dalam perbicaraan peringkat pembelaan Siti Bainun Ahd Razali, atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan ‘sindrom down’ dikenali Bella, bermula minggu depan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi, berkata senarai itu membabitkan 11 saksi pembelaan, termasuk pengasas Rumah Bonda itu, empat saksi ditawarkan oleh pendakwaan dan seorang saksi pendakwaan yang dipanggil semula selepas memberi keterangan di peringkat pendakwaan.
Pembelaan memohon untuk memanggil semula tiga saksi pendakwaan, namun hanya seorang dibenarkan iaitu Asisten Superintendan Rohaini Baharom dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).
“Pembelaan membuat permohonan untuk panggil semula saksi pendakwaan pada 7 Disember lalu, mengikut Seksyen 173 Kanun Tatacara Jenayah. Mahkamah minta senarai saksi lengkap itu dua hari kemudian. Pada 21 Disember lalu, pembelaan memuktamadkan senarai itu berserta alasannya.
“Pembelaan kata nak panggil bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood, selaku saksi utama kerana mahu sahkan keterangannya ada kredibiliti dan konsisten, namun ia adalah pertimbangan yang perlu dibuat mahkamah. Panggil semula Yasmin wajar ditolak.
“Alasan diberikan untuk panggil saksi pendakwaan ke-20 (Rohaini) berkaitan keterangan saksi pendakwaan ke-21 dan ke-22. Alasan itu kukuh dan wajar untuk Rohaini dipanggil semula.
“Keterangan pakar bedah plastik, Dr Salmi Mohamed Shukur, pula dikatakan perlu untuk mengesahkan keterangan doktor yang lain. Saya berpendapat tiada keperluan memanggilnya kembali selepas memaklumkan pendirian dan diagnosis keadaan Bella yang akan diputuskan mahkamah,” katanya.
Siti Bainun diarah membela diri terhadap pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini, di antara Februari hingga Jun 2021 dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas, mengesahkan sudah menerima salinan pernyataan saksi dibuat Siti Bainun.
“Namun, saya membantah pernyataan tambahan yang diserahkan kepada pendakwaan dua hari lalu.
“Ia berikutan ia dimaklumkan melebihi tempoh 14 hari, sekali gus tidak mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Peguam bela Siti Bainun, M Yallini, memaklumkan mahu membuat rayuan terhadap bantahan itu.
“Pernyataan tambahan itu sebenarnya memberi satu keistimewaan kepada pendakwaan untuk membuat pemeriksaan balas nanti,” katanya.
Hakim kemudian menegaskan pembelaan tidak boleh membuat rayuan, sebaliknya hanya semakan dibenarkan.
“Kita tidak nafikan hak tertuduh yang boleh memberi keterangan secara lisan. Prosiding kes ini ditangguhkan ke Isnin depan untuk bela diri.
“Siti Bainun akan menjadi yang pertama beri keterangan. Aturan saksi lain akan dimuktamadkan pada masa itu,” katanya.
Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Sesyen menetapkan tarikh perbicaraan bela diri Siti Bainun selama 25 hari iaitu 5, 6, 16 hingga 20, 26 dan 27 Januari, diikuti 20 hingga 24, 27 dan 28 Februari dan 6 hingga 10 serta 27 hingga 30 Mac.
BHonline-