KUALA LUMPUR: Perbicaraan bela diri oleh Siti Bainun Ahd Razali, atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down dikenali Bella, akan bermula Isnin depan mengikut jadual.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ia berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, hari ini, yang membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan pengasas Rumah Bonda itu untuk menyemak pertuduhan berkenaan.
Sequerah berkata, keputusan berkenaan sekali gus membawa kepada penolakan permohonan itu, yang dibuat menerusi notis usul.
“Apabila dikemukakan surat bantahan, saya berpendapat ia adalah perkara yang patut disemak. Budi bicara hakim masih terpelihara. Dalam notis usul permohonan pula, mana-mana pihak boleh merayu dalam semua keadaan.
“Atas sebab-sebab dalam bantahan dan permohonan itu, saya membenarkan bantahan daripada pendakwaan selaku responden dan berpendapat semakan tidak boleh dimulakan. Notis usul turut ditolak selepas difailkan di pejabat pendaftar,” katanya.
Susulan itu, peguam bela Siti Bainun, P G Cyril, memaklumkan mahu merayu keputusan mahkamah atas arahan Siti Bainun.
“Atas sebab itu, kami mohon penggantungan atau penangguhan prosiding bela diri Siti Bainun, yang bermula Isnin depan hingga rayuan itu diputuskan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas, membantah rayuan itu, namun menyerahkannya kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan, sebelum hakim menolak rayuan dibangkitkan.
Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Sesyen menetapkan tarikh perbicaraan bela diri Siti Bainun selama 25 hari iaitu pada 5, 6, 16 hingga 20, 26 dan 27 Januari, diikuti 20 hingga 24, 27 dan 28 Februari dan 6 hingga 10 serta 27 hingga 30 Mac.
Seorang lagi peguam mewakili Siti Bainun, Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, pula dilapor mengesahkan, bantahan awal yang difailkan oleh pihak pendakwaan pada 1 Disember lalu diserahkan kepada pihaknya empat hari selepas itu.
Dalam notis usul difailkan 30 November lalu, Siti Bainun memohon menyemak dua pertuduhan kerana mendakwa Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi, tidak mempertimbangkan pertuduhan disifatkan defektif atau cacat dan prejudis ketika memerintahkannya membela diri.
Pengasas Rumah Bonda itu juga mendakwa perintah hakim itu untuk memanggilnya membela diri pada 24 November lalu, adalah batal dan tidak sah kerana gagal menilai kecacatan pertuduhan dalam penghakiman yang dibacakan di mahkamah terbuka pada hari berkenaan.
Siti Bainun diarah membela diri terhadap pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini, di antara Februari hingga Jun 2021 dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan yang bermula 30 Mac 2022.
BHonline-