BANGKOK: Thailand merancang untuk mengutip bayaran sebanyak 300 baht (RM39.28) daripada pelancong asing yang tiba di negara itu bermula Jun depan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Pelancongan, Phiphat Ratchakitprakarn berkata, hasil kutipan bayaran itu akan digunakan untuk membantu pelancong sekiranya terlibat dalam kemalangan selain bagi membangunkan destinasi pelancongan.
“Bayaran tidak akan dikutip daripada warga asing yang memiliki permit kerja dan pas sempadan,” katanya.
Cadangan memperkenalkan bayaran kepada pelancong asing mula dipertimbangkan pada tahun lalu dan ia masih lagi tertakluk kepada kelulusan Kabinet.
Pelancongan merupakan sektor penting di negara ekonomi kedua terbesar Asia Tenggara.
Malah, sektor pelancongan itu turut menyumbang kira-kira 12 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebelum pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, Phiphat berkata, Thailand menjangkakan 25 juta pelancong tiba di negara itu pada tahun ini.
Katanya, perbelanjaan pelancongan dijangka mencecah sekurang-kurangnya 2.38 trilion baht (RM311.6 bilion) pada tahun ini.
Jelas beliau, Thailand menerima kemasukan 40 juta pelancong pada tahun 2019.
UtusanOnline-