SUNGAI PETANI – Dakwaan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli bahawa Pas menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah disebabkan sentimen perkauman dan politik wang, seumpama menuduh pengundi terlalu naif.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tuduhan itu juga dilihat secara terang telah menghina pengundi khususnya di Negeri Jelapang Padi itu.
Menurutnya, Mohd Rafizi seolah-olah menganggap pengundi PRU15 2022 tidak bijak, tidak tahu membuat penilaian, sentiasa membuat pilihan yang salah dan sangat teruja dengan wang rasuah pilihan raya.
“Pas memang ‘parti tin Milo’, bukan seperti mereka yang ditaja oleh tauke-tauke besar, hingga ke sana sini berkempen mampu naik helikopter, calon Presiden Amerika Syarikat adalah contoh manusia atas planet ini yang ada kemampuan seperti itu,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Selain itu, Muhammad Sanusi berkata, raja politik wang yang mana Rafizi sendiri sering ulang sebut dalam ceramahnya sebelum ini, kini sedang ‘bersekedudukan’ dengan mereka, masakan tidak tahu sedangkan beliau kini merupakan Menteri Ekonomi.
“Bagi Rafizi, dia dan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah salah, sempurna dan sentiasa benar dalam semua hal.
“Ironinya, kebencian pengundi kepada formula sampah yang tidak pernah berjaya, ucapan bernada bongkak, memandang rendah orang lain, perasan bijak, membina persepsi dengan menipu, menghina dan mencela dalam bahasa baku telah mendorong pengundi memberikan mereka pengajaran pada PRU15.
Muhammad Sanusi menjelaskan, ‘tsunami hijau orang Melayu’ pada PRU15 akan terus membesar sehari demi sehari setiap kali Rafizi membuka mulut besar beliau.
“Orang ramai sudah tahu prestasi sebenar beliau di sebalik ucapan kempen PRU15 yang kini memakan diri sendiri. Saya sebetulnya sangat berharap dia terus bercakap seperti itu.
“Kalau dia rasa dia sangat bijak, dia juga perlu sedar orang lain juga tidak bodoh. Sekarang ini tahun 2023, pengundi tidak lagi bergantung kepada ‘cakap kosong berstatistik’ dan retorik.
“Sekarang zaman orang menilai kerja dan prestasi, prestasi PH sudah dilihat selama 22 bulan selepas PRU14, prestasi BN pula seluruh rakyat sudah sedia maklum.
“Jika telur dan ayam pun mereka gagal uruskan, apatah lagi harga minyak yang sentiasa dijanjikan akan diturunkan tetapi tak turun-turun.
“Rafizi akan jadi punca utama PH dan BN dihukum pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan PRU16 nanti,” jelasnya.
Sebelum ini, Sinar Harian pada Ahad melaporkan dakwaan Mohd Rafizi bahawa PH membuktikan bahawa ekonomi rakyat menjadi lebih baik dan kuasa orang Melayu tidak terhakis bawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
Mohd Rafizi berkata, dua faktor tersebut perlu diberi penekanan kerana ianya merupakan sentimen utama yang dimainkan PN pada PRU15 lalu.
Dakwanya, faktor utama kemenangan besar PN pada PRU15 disebabkan sentimen perkauman yang disebarkan secara meluas selain perbelanjaan tinggi sepanjang tempoh berkempen.
-Sinar Harian