Wartawan penyiasatan Pakistan Syed Fawad Ali Shah yang tinggal dalam buangan di Malaysia selama lebih sepuluh tahun telah dihantar pulang ke negara asalnya pada Ogos 2022.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution mengesahkan Syed Fawad Ali Shah, 41, yang dikatakan pemegang kad kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) telah dihantar pulang.
“Syed Fawad merupakan rakyat Pakistan berada di Malaysia dah lama. Dan keberadaannya di Malaysia itu menarik perhatian kerajaan Pakistan meminta kita mengesan keberadaannya kemudian dihantar pulang.
“Ini melalui permohonan atas permintaan Pakistan pada kerajaan kita pada waktu itu (kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob) bukan sekarang.
“Saya boleh sahkan berdasarkan pada rekod rasmi, tindakan yang dibuat bersesuaian dengan permintaan dibuat kerajaan Pakistan terhadap Syed Fawad. Kita kesan dan kemudiannya hantar pulang balik.
“Ini status dia,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat penjara Malaysia, di Kajang hari ini.
Katanya, Syed Fawad dihantar pulang seawal minggu ketiga bulan Ogos ke Islamabad.
Pada 30 Disember lalu, isteri Syed Fawad yang hanya mahu dikenali sebagai Syeda susulan faktor keselamatannya, merayu bantuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mencari suaminya yang hilang di Malaysia.
Dua versi identiti Syed Fawad
Sementara itu, Saifuddin berkata bahawa terdapat dua versi berlainan berhubung identiti Syed Fawad.
“Media kita kenali beliau sebagai wartawan. Tapi, versi rasmi dari Pakistan beliau bekas anggota polis yang ada beberapa kes disiplin polis.
“Ini saya petik dari sumber kerajaan Pakistan yang hantar kepada kita. Tapi, walaupun bekas polis yang ada kes, beliau ada keupayaan menulis yang baik. Jadi, banyak tulis dalam tulisan yang kritik kerajaan.
“Ertinya, beliau digambarkan sebagai seorang wartawan. Tapi, kalau ikut rekod rasmi pernah jadi anggota polis di Pakistan,” katanya.
-Malaysia Kini