KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyokong hasrat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mahu mengenakan hukuman berat kepada Ahli Dewan Rakyat yang tidak beretika di Parlimen.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang dihubungi BH mengalu-alukan pendekatan Johari yang mahu menjatuhkan hukuman penggantungan enam bulan dan denda sekurang-kurangnya RM1,000 kepada wakil rakyat yang mengeluarkan kenyataan perkauman, menghina dan mendiskriminasi jantina di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Bentong daripada DAP, Young Syefura Othman, menyifatkan melihat hukuman tegas itu sebagai langkah penting dalam memastikan suasana perbahasan yang baik dan sopan oleh semua Ahli Parlimen.
Tegasnya, ia juga dapat mengembalikan maruah Parlimen yang dipandang rendah dan diejek orang ramai akibat perbuatan segelintir Ahli Parlimen yang merendahkan kemuliaan Dewan Rakyat dengan menggunakan istilah menghina ketika berbahas sebelum ini.
“Sewaktu sidang lalu, perkara ini menjadi ejekan dan momokan rakyat kerana Ahli Parlimen sepatutnya menunjukkan teladan yang baik dan sifat yang matang ketika berbahas.
“Perkataan perkauman, menghina atau diskriminasi jantina tidak sepatutnya berlaku dalam sidang dewan, di mana kita membincangkan mengenai isu rakyat.
“Jadi denda dan hukuman ini wajar dilaksana dan dikuatkuasakan agar Ahli Parlimen sentiasa beringat dan berkelakuan sopan serta menghormati antara satu sama lain,” katanya kepada BH, hari ini.
Dalam laporan eksklusif BH hari ini, Johari memaklumkan mahu melaksanakan beberapa pembaharuan bagi memperkasa Parlimen, termasuk mengenakan tindakan lebih berat terhadap Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan perkauman, menghina dan mendiskriminasi jantina.
Katanya, hukuman boleh dikenakan termasuk denda RM1,000 yang termaktub dalam Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 yang tidak pernah digunakan, serta penggantungan daripada Parlimen selama enam bulan yang jarang digunakan Speaker terdahulu.
Malah, Johari juga berhasrat untuk meningkatkan lagi kadar denda yang boleh dikenakan kepada Ahli Dewan Rakyat yang melanggar peraturan berkenaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jelebu daripada UMNO, Datuk Seri Jalaluddi Alias, berkata hukuman itu sepatutnya sudah dikuatkuasakan sejak dahulu lagi kerana kenyataan perkauman dan diskriminasi jantina mencetus kekecohan dalam kalangan Ahli Parlimen dan rakyat.
“Cukup-cukuplah, kenyataan seperti ini tidak sepatutnya dikeluarkan lagi oleh Ahli Parlimen. Ini hukuman dan peringatan yang sepatutnya dilaksanakan sejak dulu lagi. Peraturan dah ada cuma tak praktis.
“Memang sudah tiba masanya untuk kita perkuatkan institusi Parlimen dan mengenakan tindakan tegas untuk beri peringatan kepada Ahli Dewan Rakyat,” katanya.
Seorang lagi Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng (Kepong) juga menyokong sepenuhnya tindakan tegas sedemikian supaya semua pihak memandang keseriusan institusi Parlimen dan Dewan Rakyat menegakkan peraturan dan undang-undang.
“Hukuman ini memang sudah ada dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Saya yakin dengan menguatkuasakan Peraturan Mesyuarat secara lebih tegas dengan hukuman berat, akan dapat mengurangkan perkataan menghasut, ekstrem dan perkauman di Dewan Rakyat,” katanya.
Ahli Parlimen Rantau Panjang daripada PAS, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff menyifatkan hukuman itu mampu mendisiplin Ahli Parlimen daripada mencemar kemuliaan Dewan Rakyat, dan memastikan urusan Parlimen berjalan dengan penuh hormat dan sopan.
“Peraturan penting, namun penguatkuasaannya lebih penting bagi memastikan tiada lagi pelanggaran pada masa depan.
“Namun, seharusnya walaupun tiada peraturan, semua wakil rakyat yang menjadi contoh masyarakat tetap kena jaga adab, budi pekerti dan tatasusila, apatah lagi dalam Islam kita memang disuruh hormat-menghormati.
BHonline-