PETALING JAYA – Kerajaan diminta mempertimbangkan permohonan untuk menaikkan gaji penjawat awam menerusi Bajet 2023 yang akan dibentang Jumaat ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, kenaikan gaji itu bagi menyelesaikan masalah peningkatan kos sara hidup yang begitu ketara ketika ini.
“Cuepacs berpendapat kunci utama untuk negara keluar daripada belenggu kos sara hidup dengan meningkatkan kadar gaji serta upah pekerja.
“Faktor gaji dan upah menjadi perkara yang mendesak kerana kadar semasa tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup yang naik dengan begitu mendadak terutama melibatkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan perumahan.
“Tambahan pula sistem saraan perkhidmatan awam ketika ini sudah lama tidak dikaji iaitu sejak November 2002 dan tidak sesuai lagi dengan persekitaran ekonomi semasa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Adnan berkata, Cuepacs mengharapkan sebuah sistem saraan baharu dengan model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat dengan lebih baik berbanding peningkatan kos sara hidup.
Kata beliau, kenaikan gaji tahunan pula perlu ditetapkan pada kadar minimum RM180 setahun untuk mengimbangi kos sara hidup.
Dalam hal pemilikan perumahan pula, katanya, Cuepacs berharap ada berita gembira yang diberi kerajaan melalui Bajet 2023 termasuk dalam isu pemilikan kediaman mampu milik.
Ujar beliau, sejak tahun 2018 semua pembinaan rumah mampu milik untuk kakitangan awam telah dihentikan oleh kerajaan.
Kata beliau, langkah itu menyukarkan penjawat awam untuk membeli kediaman sendiri dan terpaksa terus menghuni kuarters kerajaan atau menyewa.
“Penetapan harga kediaman mampu milik mestilah bawah RM300,000. Penjawat awam tidak meminta perumahan percuma kerana kami sanggup membelinya, tetapi harga yang ditawarkan oleh pemaju ketika ini sangat tidak masuk akal dengan kadar gaji semasa penjawat awam.
“Bayangkan kediaman di sekitar Putrajaya rata-rata bermula RM400,000 ke atas. Bagaimana penjawat awam yang kebanyakan dalam kalangan B40 dan M40 mampu membelinya,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga diharap meneliti dan menyelaraskan semula pemberian beberapa elaun yang bersesuaian dengan situasi semasa yang dihadapi penjawat awam.
Jelas beliau, penyelarasan semula elaun penjawat awam sedikit sebanyak mampu mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup sekali gus memberi kuasa membeli yang selesa.
Tambah beliau lagi, Bajet 2023 perlu juga melihat perkara yang masih tidak dilaksanakan sepenuhnya seperti permohonan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) tahun lepas yang masih ramai tidak dibayar.
“Peruntukan untuk penebusan awal GCR ini sepatutnya diberikan kepada semua penjawat awam yang memohon dan bukan diberi berdasarkan sejumlah peruntukan sahaja,” katanya.
-Kosmo Online