Kuala Lumpur : Ketika kebimbangan simpanan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semakin menyusut akibat empat kali pengeluaran sepanjang Covid-19, nilai simpanan golongan T20 pula menunjukkan peningkatan sebanyak 11 peratus.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dapatan itu dikeluarkan daripada kajian dilaksanakan Social Wellbeing Research Centre (SWRC) dengan kerjasama KWSP.
“Ada maklumat ingin saya kongsikan, sebanyak 5.2 juta pencarum B40 jumlah simpanan mereka mencecah RM13 bilion sebelum April 2020, menurun 46 peratus selepas Disember 2022 kepada RM7 bilion.
“Seramai 5.2 juta pencarum M40 mempunyai simpanan bernilai RM191 bilion pada April 2020, namun selepas Disember 2022 turun kepada 28 peratus menjadikan nilainya susut kepada RM138 bilion.
“KWSP ini dimonopoli T20 apabila seramai 2.2 juta ahli T20 mempunyai nilai simpanan RM538 bilion pada April 2020 tetapi jumlah itu tidak turun sebaliknya naik kepada 11 peratus menjadikan nilai keseluruhannya RM597 bilion,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Ahmad berkata, setakat 31 Disember 2022 peratusan pencarum aktif berusia 55 tahun dan ke bawah yang mencapai tahap simpanan mengikut umur hanya 29 peratus saja.
“Ini menunjukkan 71 peratus ahli yang berusia 55 tahun ke bawah berada dalam situasi serius jumlah dana mereka tak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan.
“Untuk ahli yang mencarum sekurang-kurangnya 20 hingga 25 tahun menunjukkan tahap amat membimbangkan dengan RM1.7 juta setakat 31 Disember 2022.
“Nilai ini mewakili 36 peratus ahli berusia 40 hingga 54 tahun hanya ada baki kurang RM10,000 dalam akaun KWSP.
“Dengan tahap ini, kumpulan ini lebih terdedah risiko kemiskinan pada hari tua,” katanya.
Menurutnya, kajian itu turut mendedahkan jumlah simpanan median bagi pencarum Bumiputera di bawah 55 tahun bernilai RM15,541 sebelum April 2020, namun selepas Disember 2022 hanya berbaki RM4,937 iaitu menurun sebanyak RM10,604.
“Bagi pencarum Melayu, nilai simpanan median pada April 2020 ialah RM16,938 tetapi tinggal RM5,529 pada Disember 2022 iaitu menurun kepada RM11,409.
“Bumiputera lain, pada April 2020 nilai simpanan mediannya ialah RM10,591 tetapi Disember 2022 tinggal RM3,302 iaitu penurunan sebanyak RM7,289.
“Cuma berita baik untuk kaum Cina, nilai simpanan median pada April 2020 ialah RM45,756 dan masih tinggal RM45,162 pada Disember 2022 turun hanya RM594 saja.
“India pula, simpanan median mereka adalah RM25,724 pada April 2020 dan berbaki RM14,929 iaitu menurun sebanyak RM10,790,” katanya.
Justeru, beliau memaklumkan, melihat kepada faktor itu menyebabkan kerajaan tetap berpendirian tidak akan membenarkan lagi pengeluaran khas apatah lagi negara lain seperti Australia, Peru dan Chile yang melaksanakan langkah sama sudah menghentikan pengeluaran berkenaan.
“Jadi inilah sebab kerajaan buat keputusan tak beri kebenaran kerana kita sudah sampai era endemik, malah negara lain juga sudah tidak benarkan pengeluaran ini.
“Kita bimbang golongan B40 dan M40 paling terjejas akibat pengeluaran ini. Sebanyak 6.7 juta atau 51.5 peratus daripada 13.1 juta pencarum berusia bawah 55 tahun kini ada simpanan RM10,000 dan kurang.
“Saya kira bajet (Belanjawan) Jumaat ini, sebagaimana dijanjikan Perdana Menteri, ada kaedah lain untuk membantu kumpulan ini,” katanya.
Terdahulu, ucapan beliau dicelah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera-BN), Mohd Syahir Che Sulaiman (Bachok-PN) serta Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor-PH) yang meminta kerajaan mempertimbangkan pengeluaran KWSP secara bersasar dan syaratnya ditentukan sendiri kerajaan.
-Harian Metro