PETALING JAYA: Aset simpanan syariah dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan diasingkan sepenuhnya daripada aset dalam simpanan konvensional.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Demikian komitmen diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meningkatkan keupayaan sistem kewangan Islam negara ini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2023 semalam, beliau berkata, dalam aspek simpanan syariah KWSP yang diperkenalkan sejak 2017, pada masa ini, aset simpanan syariah dilaburkan bersama aset patuh syariah dalam simpanan konvensional.
“Bermula 2024, aset simpanan syariah akan diasingkan sepenuhnya bagi memberi pulangan yang kompetitif kepada 1.25 juta ahli yang memiliki akaun syariah,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata bersesuaian dengan kerangka Madani yang diperkenalkan yang mencakupi sektor kewangan Islam, kerajaan juga akan mempergiatkan usaha membangunkan tanah dan aset wakaf.
“Setakat ini, tanah wakaf berdaftar yang berjaya dibangunkan hanya sekitar 3,500 hektar atau 12 peratus. Sesuai dengan kerangka Madani, kaedah berwakaf merupakan salah satu mekanisme pengagihan semula kekayaan yang menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.
“Kerajaan telah menerima komitmen swasta untuk mewujudkan Wakaf Madani dengan aset-aset bernilai lebih RM1 bilion,” katanya.
Menurutnya, aset-aset wakaf itu termasuk tanah, masjid, bangunan, kemudahan kesihatan dan pendidikan yang akan dioptimumkan bagi manfaat golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan rentan lain.
UtusanOnline-