KUALA LUMPUR : Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin, menegaskan akan mengambil tindakan sewajarnya susulan tuduhan beliau terbabit rasuah, khususnya berhubung dakwaan memberikan kontrak bernilai RM1 bilion kepada menantunya.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kenyataan itu disuarakan Ahli Parlimen Pagoh itu ketika menjawab gesaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang mencelah ketika bekas Perdana Menteri itu membahaskan Titah Diraja ketika Sidang Parlimen hari ini.
“Itu adalah suatu fitnah dan pembohongan…tak apa kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya tanpa mengulas bentuk tindakan yang akan diambil.
Terdahulu, Poay Tiong bangkit mengajukan soalan mengenai kontrak yang diberikan kepada menantu Muhyiddin, meskipun tidak diberikan laluan oleh Ahli Parlimen Pagoh itu yang sedang berucap.
Keadaan sedikit kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen turut serta termasuk Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang turut menggesa Muhyiddin mengambil tindakan sekiranya dakwaan rasuah itu satu pembohongan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dakwaan pembabitan Muhyiddin dalam pemberian kontrak bernilai RM1 bilion kepada menantunya tidak akan tersebar luas jika ia tidak benar.
Anwar yakin dakwaan itu benar, namun menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menentukan sejauh mana pembabitan Muhyiddin dalam penganugerahan kontrak berkenaan.
Perdana Menteri turut menegaskan perkara itu dibangkitkan pentadbirannya kerana mahu menghentikan sepenuhnya amalan pemimpin terdahulu yang menggunakan kedudukan bagi mengkayakan keluarga masing-masing.
-Berita Harian