KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini membantah permohonan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk memfailkan tuntutan balas terhadap LHDN yang menuntut supaya beliau membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Peguam Kanan Hasil Al-Hummidallah Idrus, yang mewakili LHDN, berkata pihaknya membantah permohonan itu atas alasan Aturan 73 Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Subseksyen 42(2)(e)(i) Akta Prosiding Kerajaan 1956 menyatakan tuntutan balas tidak boleh difailkan terhadap kerajaan bagi tindakan pemungutan cukai.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain kemudian menetapkan 13 April untuk memutuskan perkara itu.
Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Muhammad Shafee, ketika dihubungi mengesahkan tarikh itu.
Muhammad Shafee juga diwakili Datuk Seri Rajan Navaratnam, manakala Peguam Kanan Hasil Norzilah Abdul Hamid dan Muhammad Faqrol Syazreen Mohd Ghause turut bertindak bagi LHDN.
Muhammad Shafee memfailkan permohonan itu pada Mei 2021 antaranya atas alasan tuntutan cukai itu adalah serangan terhadap beliau sebagai mangsa politik atas kapasitinya selaku peguam Datuk Seri Najib Razak dan dianggap sebagai peguam UMNO walaupun beliau bukan peguam parti berkenaan.
Pada 27 September 2021, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Muhammad Shafee diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan antaranya defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan dan kenaikan cukai yang dikenakan ke atas beliau berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh yang ditetapkan.
LHDN, yang memfailkan saman itu pada 6 Mei 2021 mendakwa sehingga kini, peguam terbabit masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan yang dikenakan.
Muhammad Shafee adalah peguam Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada 28 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhammad Shafee daripada dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.
Bagaimanapun, pendakwaan pada 1 November 2022 memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Bernama-