Kemaman : Polis menerima dua lagi laporan berkaitan kes amang seksual yang dipercayai dilakukan pegawai perubatan sebuah hospital di daerah ini yang sudah ditahan bagi membantu siasatan kes sama.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan polis terbaharu itu membabitkan mangsa perempuan berusia lapan dan sembilan tahun.
Menurutnya, kedua-kedua mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, kelmarin dengan ditemani keluarga masing-masing.
“Kedua-dua laporan itu mendakwa dicabul pegawai perubatan yang sama pada awal Januari lalu ketika mangsa mendapat rawatan di hospital yang sama.
“Kita sedang menyiasat sama ada kedua-dua kanak-kanak terbabit menjadi mangsa amang seksual secara fizikal sebagaimana yang berlaku pada mangsa yang pertama yang membuat laporan pada minggu lalu,” katanya.
Hanyan berkata, kes berkenaan dirujuk kepada Pusat Siasatan Khas Polis Bahagian Siasatan Kanak-kanak D13 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, pihaknya akan memohon untuk mendapatkan perintah sambung reman terhadap suspek berusia 30 tahun itu esok.
Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 mendakwa dicabul seorang doktor ketika mendapat rawatan di hospital sama.
Mangsa yang mengidap diabetes mendakwa doktor terbabit membuka baju dan meraba dadanya serta turut merakam perbuatan berkenaan menggunakan telefon bimbit.
Berikutan laporan polis, polis menahan seorang doktor sebelum direman selama seminggu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
-Harian Metro