GUA MUSANG: Lebih 100 penduduk di Kampung Lebur Jaya, Kuala Betis di sini hidup dalam ketakutan selepas seekor gajah liar menceroboh masuk ke kawasan penempatan mereka sejak dua minggu lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Dakwa penduduk, gajah liar itu turut merosakkan tanaman yang diusahakan mereka seperti pisang dan kelapa pada masa sama membuang najis di merata-rata tempat.
Seorang penduduk, Anuar Mustapha, 47, berkata, pada Khamis lalu dia berdepan detik cemas apabila gajah liar yang mempunyai gading itu telah muncul di hadapan rumahnya.
“Semasa sedang mengopek kelapa dihadapan rumah, gajah liar itu telah muncul secara mengejut di hadapan saya.
“Terkejut melihat hidupan liar itu, saya terus berlari masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Saya sempat melihat gajah liar itu memakan tanaman yang ada disekitar kawasan rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Norhayati Ibrahim, 47, berkata, dia turut melihat kelibat gajah itu ketika ingin membuang sampah di belakang rumahnya pada pukul 8.30 malam Ahad lalu.
Katanya, semasa membuka pintu dapur untuk membuang sampah dia terkejut melihat haiwan itu sedang mengibas telinganya tanpa mengeluarkan sebarang bunyi.
“Saya masuk ke dalam rumah dan memberitahu orang kampung untuk menghalau gajah itu masuk semula ke kawasan hutan,” ujarnya.
Sementara itu, Ibrahim Hassan, 71, berkata, penduduk telah melaporkan perkara kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Katanya, penduduk berharap tindakan segera dapat diambil bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku selepas ini.
“Gajah pernah muncul sekali semasa kampung ini mula dibuka 30 tahun lalu. Kali ini haiwan ini muncul semula dan bergelar-legar di kawasan kampung dan penempatan penduduk,” katanya.
UtusanOnline-