Ismail Sabri Yaakob berkata dia belum memutuskan sama ada akan mempertahankan jawatan naib presiden Umno atau tidak dalam pemilihan parti akan datang.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
“Saya belum ambil sebarang keputusan untuk pertahankan jawatan atau sebaliknya…saya masih mempertimbangkan perkara itu.
“Jadi sama ada saya ada ‘team’ (pasukan) atau tidak, (ia) bergantung kepada keputusan itu nanti (bertanding pertahan jawatan atau sebaliknya),” katanya seperti dipetik Berita Harian, hari ini.
Semalam, Mohamed Khaled Nordin mengesahkan dia akan mempertahankan jawatan itu.
Laporan Berita Harian hari ini turut memetik sumber yang berkata, seorang lagi naib presiden Mahdzir Khalid akan mempertahankan jawatannya, manakala Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir juga dikatakan akan bertanding untuk jawatan itu.
‘Hormat bidang kuasa ROS’
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan perlu menghormati bidang kuasa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan yang sedang membuat siasatan berhubung keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
Ia selepas Ahmad berkata keputusan PAU 2022 itu tidak melanggar perlembagaan parti mahupun Peraturan Mesyuarat.
“Jangan mengambil (alih) bidang kuasa ROS, kerana jabatan itu baru saja menjawab surat dua pihak yang mengadu perkara itu.
“Saya difahamkan ROS sudah menjawab aduan dua pengadu itu yang mereka sudah menerima aduan itu dan ROS sedang menyiasat, jadi Ahmad Maslan tidak boleh kata begitu.
“Biarkan dulu ROS menyiasat,” kata bekas perdana menteri itu lagi.
Berkenaan keputusan PAU 2022 itu, Ismail berkata dia setakat ini menghormati keputusan yang dibuat kecuali ROS membuat keputusan sebaliknya nanti
“Kalau ROS buat keputusan lain, kita akan putuskan bila masanya tiba,” katanya berhubung kemungkinan dia akan bertanding untuk dua jawatan tertinggi itu.
-Malaysia Kini