KOTA BHARU : Kerajaan menyasarkan pembinaan Denai Sungai Kebangsaan (DSK) sepanjang 10,000 kilometer (km) di sepanjang sungai menjelang 2030, dalam usaha menangani masalah pencemaran sungai di seluruh negara.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menterinya Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata dengan adanya denai di tepi sungai, ia akan menggalakkan aktiviti seperti berkelah, memancing dan berbasikal di sepanjang sungai, dalam kalangan komuniti setempat.
Beliau berkata, kehadiran orang ramai di kawasan terbabit dapat menghalang mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sisa.
“Pembinaan DSK dilaksanakan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Tahun ini, kita sasar membina denai sepanjang 1,000 km dan sepanjang 10,000 km menjelang 2030.
“DSK ini juga berpotensi untuk menyumbang kepada ekopelancongan setempat, seperti wujudnya pasar terapung di Pengkalan Datu, di sini, yang menarik ramai pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan denai di Sungai Pengkalan Datu, Kubang Kerian, di sini.
Yang turut hadir, Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba dan Sakridan Pengarah JPS Kelantan, Ir Kamal Mustapha.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai, kementeriannya dengan kerjasama semua kerajaan negeri akan mengenal pasti kawasan rizab sungai untuk dibangunkan sebagai kawasan rekreasi melalui pembinaan denai dan aktiviti pengindahan sungai.
“Projek rintis DSK dimulakan dengan denai sepanjang hampir satu km bermula di kawasan belakang Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) dan melalui kawasan hutan bakau di sekitar Min House Camp, Kubang Kerian,” katanya.
-Berita Harian