Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yakin Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) akan memberikan respons yang menggembirakan kepada parti itu dalam tempoh 60 hari.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kata timbalan perdana menteri itu isu usul tambahan yang diterima dan diundi semasa Perhimpunan Agung Umno 2022 lalu – mengenai jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan – telah diteliti oleh kumpulan peguam parti.
“Kita mempunyai tempoh 60 hari untuk ROS respons dan saya yakin dalam peraturan mesyuarat Umno, Perlembagaan Umno telah diikuti seluruhnya oleh pengerusi tetap.
“Terdapat klausa 9.3 dan 9.4 dalam Perlembagaan Umno yang telah dijelaskan kepada ROS.
“Perhimpunan Agung Umno adalah badan tertinggi Umno. Maka keputusan yang dibuat – termasuk tambah usul oleh ucapan dasar itu – diteliti oleh ROS dan oleh kumpulan peguam kami dan Setiausaha Agung Umno.
“Saya yakin sebelum tempoh 60 hari saya peroleh jawapan yang positif daripada pihak ROS,” katanya ketika sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Pada 9 Feb lalu, kata Ahmad Zahid, parti itu telah mengemukakan semua maklumat dan penjelasan yang diperlukan ROS berhubung usul tambahan tersebut.
Kenyataan Ahmad Zahid dibuat sehari selepas seorang ahli Umno dipanggil oleh ROS untuk memberi keterangan lanjut kepada pihak berkuasa berkenaan laporan yang dikemukakannya sebelum ini.
Menurut Aizat Fikri Nasir Fikri dia memberi keterangan kepada ROS selapa lebih dua jam semalam.
Minta presiden bersabar
Kata ahli Umno Kuala Nerus berkenaan ROS meminta dia menjelaskan secara terperinci isu tersebut dan mereka sedang meneliti Fasal 8.1 Perlembagaan Umno.
ROS juga kata Aizat Fikri memberi jaminan untuk menjalankan siasatan dengan adil.
“Isunya, walaupun PAU mempunyai kuasa tertinggi namun ia tidak boleh meluluskan sesuatu yang bercanggah atau tiada dalam perlembagaan.
“Sebagai contoh, jika ada usul dibawa dalam PAU untuk Umno mewujudkan dua jawatan presiden, ia tidak boleh diambil kira kerana perlembagaan Umno menyatakan hanya satu jawatan Presiden.
“Bahkan di dalam urusan kerajaan, Dewan Rakyat juga tidak boleh membuat ketetapan yang bercanggah dengan perlembagaan negara (ultra vires), jika ia berlaku ketetapan itu terbatal secara automatik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Aizat Fikri ROS juga menjelaskan tempoh 60 hari yang diberikan kepada Umno itu bukanlah tempoh siasatan, sebaliknya untuk parti itu menghantar laporan penuh persidangan baru-baru ini.
Jelasnya siasatan bagi laporan berkenaan akan tetap diteruskan sekali gus menafikan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, sebelum ini bahawa isu berkenaan telah selesai.
“Saya juga dimaklumkan ada ahli-ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno yang akan dipanggil bagi mendapatkan pandangan mereka tentang usul tersebut dan cara usul itu dibawa.
“Saya harap presiden dan timbalan presiden dapat bersabar dan tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.
“Biarlah ROS menjalankan siasatan yang adil dan bebas,” katanya lagi.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pencalonan bagi sayap pemuda, wanita dan puteri serta MKT dijangka terus meningkat menjelang pemilihan parti itu.
“Jawatan-jawatan yang boleh dipertandingkan itu terbuka seluasnya untuk siapa yang berminat dan saya harap garis panduan kempen yang dihantar oleh (Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno) Tan Sri Shahrir Samad diikuti sepenuhnya,” kata ahli parlimen Bagan Datuk itu.
-Malaysia Kini