KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin UMNO mula menawarkan diri bertanding pada pemilihan parti itu, menjelang hari pendaftaran pencalonan untuk pertandingan peringkat bahagian dan Pusat, bermula Isnin ini hingga 26 Februari.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, antara pemimpin yang sudah mengumumkan mempertahankan jawatan, manakala dua lagi penyandang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid, masih berteka-teki.
Setakat ini, bekas Pengerusi UMNO Johor, yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad, menawarkan diri merebut jawatan itu.
Beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) juga dipercayai sedang mengintai peluang untuk merebut jawatan Naib Presiden, tetapi masih belum membuat pengumuman rasmi.
Antara yang disebut-sebut, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Paling mencuri tumpuan, pemilihan merebut jawatan Ketua Wanita apabila penyandangnya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, mengumumkan mempertahankan jawatannya, pada masa sama, bekas Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, mendapat sokongan 147 Ketua Wanita UMNO Bahagian, yang memintanya kembali merebut jawatan itu.
Sehingga hari ini, usaha mendapatkan komen Shahrizat berhubung perkara ini belum berhasil.
Difahamkan Shahrizat akan bergandingan dengan EXCO Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari, yang akan bertanding merebut jawatan Naib Ketua Wanita.
Penyandang jawatan itu, Datuk Norliza Abdul Rahim, masih belum mengumumkan sama ada mempertahankan jawatan atau sebaliknya, namun sumber sayap parti memberitahu, beliau akan bergandingan dengan Noraini bagi mempertahan jawatannya.
Untuk jawatan Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan.
Namun, beliau dikatakan mahu bertanding jawatan Naib Presiden dan Ahli MKT.
Tiga pemimpin Pemuda UMNO sudah mengumumkan bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda iaitu Ahli MKT, Datuk Armand Azha Abu Hanifah; Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh, manakala Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan, disebut-sebut berminat menawarkan diri.
Untuk jawatan Naib Ketua Pemuda, antara yang berminat menawarkan diri adalah Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah dan anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga ahli Pemuda UMNO Langkawi, Mohd Nazifuddin Mohd Najib.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan, tidak akan mempertahankan jawatan kerana beliau sudah melepasi had usia ditetapkan.
Beberapa nama sudah menyatakan hasrat bertanding jawatan itu, antaranya Penolong Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan; EXCO Puteri UMNO, Fadhwa Anuar dan Ketua Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Dr Maslina Harun.
Pemilihan UMNO diadakan bermula 1 Februari lalu hingga 18 Mac ini, dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan berlangsung pada 1 hingga 26 Februari ini.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pemuda UMNO dan Puteri UMNO Bahagian bersama pemilihan EXCO Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Pusat pula bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan MKT akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.
BHonline-