PETALING JAYA – Seorang wanita yang merupakan peminat kumpulan pop terkenal 1990-an, Westlife luah rasa kecewa apabila mendapat tahu peraturan penganjur konsert ’Westlife The Wild Dreams Tour In Malaysia’ yang bakal berlangsung esok dan Jumaat ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menurut pemilik TikTok @Siz_rina, pihak penganjur konsert kumpulan pop berkenaan melarang penonton mengambil gambar, merakam audio mahupun video sekaligus membuat siaran langsung di mana-mana media sosial.
“Minum kopi dulu, tengah tertekan dengan peraturan penganjur konsert. Penat aku bersihkan simpanan telefon bimbit. Bayar RM800 tetapi tidak dibenarkan ambil gambar dan rakam video pula.
“Pintu dibuka bermula pukul 7 malam, konsert mula pukul 8.30 malam?,”tulisnya menerusi satu hantaran video di TikTok.
Sehubungan itu, ramai pengguna TikTok turut menzahirkan rasa tidak berpuas hati dengan peraturan terbabit ekoran berpandangan pihak penganjur perlu bertolak ansur kerana tidak berbaloi dengan harga tiket yang mahal.
“Dah lima bulan tunggu konsert, akhir sekali tidak boleh rakam pula. Alahai tangkap gambar banyak-banyak dekat luar sahaja lah,” tulis @HaniHanz.
“Ruginya kalau begitu. Tak dapat rasa suasana sebenar konsert,” keluh @Niza-female.
“Sama! Dah penat ‘spam’ dekat penganjur. Kita rakam je kalau krew suluh muka, kita ramai-ramai suluh muka mereka balik,” komen @Aifaa.Harith.
Terdahulu, menerusi hantaran di Instagram penganjur, Trumpet International mengumumkan Westlife akan kembali ke Kuala Lumpur selepas konsert terakhir mereka di sini pada tahun 2019 dahulu.
“Trumpet International mempersembahkan kepada anda, ’Westlife The Wild Dreams Tour In Malaysia’! Westlife akan kembali ke Malaysia selepas konsert terakhir mereka pada 2019!” tulis hantaran itu.
Konsert tersebut akan berlangsung di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 23 dan 24 Februari 2023 dengan harga tiket bermula serendah RM294 hingga RM884 tidak termasuk yuran tiket.
-Kosmo Online