Shah Alam : Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesan permasalahan kualiti air mentah berpunca daripada peningkatan ammonia (AN) di dalam air mentah di loji rawatan air (LRA) utama negeri iaitu SSP1, SSP 2 dan SSP3 sejak jam 7 pagi, 2 Februari lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Izham Hashim berkata, susulan itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air iaitu insiden yang berpotensi menyebabkan henti tugas LRA.
Pada masa sama katanya, pemantauan melalui pensampelan bersama agensi berwajib seperti Air Selangor dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dilakukan di beberapa lokasi termasuk di Sungai Air Hitam, Sungai Nyamuk dan Sungai Tinggi.
“Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) segera diaktifkan melalui pengepaman air mentah alternatif ke Sungai Selangor daripada Hybrid off River Augmentation System (HORAS) 600 sebanyak 500 juta liter sehari (JLH), dengan jarak dua kilometer dan satu jam perjalanan aliran ke muka sauk LRA.
“Ini diikuti dengan penyaluran air kolam alternatif KL Larut sebanyak 384 juta liter sehari (JLH), secara graviti dengan jarak tiga km dan 1.5 jam perjalanan aliran.
“Pengepaman air mentah alternatif ini adalah bertujuan meningkatkan kadar pencairan sungai dan mengekang kepekatan AN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Izham berkata, pintu baraj di LRA juga diturunkan oleh pihak Air Selangor bagi mempercepatkan aliran tercemar mengalir melepasi muka sauk LRA.
“Sehingga pagi kelmarin, sebanyak 516 juta liter air mentah alternatif disalurkan ke Sungai Selangor dan berjaya mengawal dan mengekang pencemaran terbabit.
“Pemantauan dan pensampelan LUAS mendapati keadaan sungai-sungai terbabit adalah di dalam keadaan yang baik dan bacaan AN menurun serta terkawal.
“Pihak Air Selangor juga memaklumkan tiada gangguan terhadap operasi LRA dan ianya adalah terkawal,” katanya.
Bagaimanapun katanya, LUAS akan terus melakukan pemantauan rapi di kawasan sungai-sungai yang berkenaan meliputi pemantauan statik di Sungai Air Hitam.
“LUAS sentiasa bersiap siaga untuk segera melaksanakan mitigasi pencegahan,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan SJAM ini membuktikan kemampuan membantu mengawal dan mengekang permasalahan kualiti sumber air di Selangor yang sekali gus mengelakkan gangguan operasi LRA dan seterusnya gangguan bekalan air kepada pengguna.
“SJAM adalah salah satu inisiatif kerajaan negeri dalam menangani permasalahan kualiti dan kuantiti sumber air negeri.
“SJAM ini adalah antara langkah penyelesaian bagi insiden pencemaran sungai dan kekurangan air mentah dari hulu sehingga ke hilir sungai yang merangkumi komponen antaranya hukuman pesalah yang lebih berat melalui Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 pindaan 2020.
“Pemantauan dan pengawasan 24 jam melalui Skuad Pantas LUAS di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat, pengepaman sumber air mentah alternatif dari kolam takungan HORAS 600 di Sungai Selangor dan Kolam Takungan (Pond C) di Sungai Semenyih,” katanya.
-Harian Metro