Friday, October 25, 2024

Creating liberating content

Aidilfitri: Syarikat Diminta Tambah...

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan meminta syarikat-syarikat penerbangan menambah bilangan penerbangan domestik khususnya...

Batal Lesen Perniagaan Jika...

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan membatalkan lesen...

Mahkamah: Remaja Bebas Daripada...

IPOH - Mahkamah Tinggi di sini Jumaat melepas dan membebaskan seorang remaja lelaki...

Aliran Trafik Di Lebuh...

KUALA LUMPUR - Aliran trafik di lebuh raya utama dilaporkan lancar setakat pukul...

Ramai Lagi Akan Didakwa Projek Jana Wibawa

KUALA LUMPUR : Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penyelewengan projek Jana Wibawa yang dilaksanakan ketika darurat pandemik COVID-19, memasuki fasa pendakwaan apabila dua pemimpin BERSATU dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasingan hari ini.

Ikuti Mynewshub: Telegram

Dua pemimpin yang didakwa hari ini ialah Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, yang masing-masing dikenakan dua tuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah daripada syarikat yang menerima kontrak projek Jana Wibawa.

Wan Saiful, 48, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor dan Adam Radlan, 42, seorang ketua pegawai eksekutif syarikat, masing-masing mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka oleh pihak pendakwaan secara berasingan di hadapan Hakim, Azura Alwi dan Hakim, Suzana Hussin.

“Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan”, kata Wan Saiful sejurus mendengar dua pertuduhan dikenakan kepadanya.

Berdasarkan pertuduhan, Wan Saiful didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada Kerajaan Malaysia secara Pra Kelayakan yang keseluruhannya bernilai RM232,000,000.

Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya, wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek sama.

Beliau yang juga bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) didakwa melakukan dua kesalahan itu di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, di antara April 2022 dan CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini di antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022.

Sementara itu, Adam Radlan pula didakwa meminta suapan wang tunai berjumlah antara 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang diperoleh syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd menerusi pengarah urusannya, Mat Jusoh Mamat.

Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tertuduh membantu syarikat MIE Infrastructure mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek di bawah Program Jana Wibawa yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia.

Adam Radlan juga didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM500,000 ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada Mat Jusoh sebagai upah untuk dirinya kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat berkenaan bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan terbabit di sebuah restoran dekat Dutamas dan CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku pada Mac 2021 dan 26 November 2021.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan masing-masing mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Sabit kesalahan, kedua-dua berdepan mereka membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Wan Saiful diikat jamin RM400,000, Adam Radlan RM120,000

Susulan pengakuan tidak bersalah yang dibuat oleh tertuduh, Azura membenarkan Wan Saiful diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, selain melapor diri di pejabat SPRM Putrajaya pada setiap dua bulan sekali hingga kes selesai.

Sementara Suzana membenarkan Adam Radlan diikat jamin RM120,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes Wan Saiful pada 22 Mac ini manakala sebutan kes Adam Radlan 23 Mac.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon jaminan antara RM500,000 hingga RM1 juta terhadap Wan Saiful kerana ia membabitkan kesalahan serius.

“Tertuduh memberi kerjasama baik kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan dan tidak berisiko untuk melarikan diri. Kami mohon syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya minggu pertama pada setiap sebulan,” katanya.


Peguam kanan, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Wan Saiful memohon jaminan rendah diberikan antara RM200,000 dan RM300,000.

Hisyam berhujah, tujuan ikat jamin adalah bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah dan pihak pendakwaan sendiri telah mempertimbangkan tertuduh sebagai individu yang tidak berisiko serta telah memberi kerjasama kepada SPRM.

“Kedua-dua akaun bank (Wan Saiful) sudah dibekukan SPRM. Isteri beliau tidak sihat dan menjalani kemoterapi serta memerlukan wang bagi rawatan itu,” katanya.

Hisyam turut memohon mahkamah membenarkan anak guamnya untuk melaporkan diri di pejabat SPRM dua bulan sekali berbanding sebulan sekali.

Wan Saiful turut diwakili peguam bela, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Rosal Azimin Ahmad.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh pada awalnya menawarkan jaminan RM300,000 dengan dua penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan terhadap Adam Radlan, selain melaporkan diri kepada SPRM sekali sebulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Adam Radlan menerusi peguamnya, Datuk Seri Rajan Navaratnam memohon jaminan dikurangkan RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan atas alasan memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan SPRM, selain tidak pernah dituduh di mahkamah sebelum ini.

“Anak guam saya adalah seorang ahli perniagaan yang mempunyai empat anak berusia antara sembilan dan 16 tahun.

“Semalam, anak guam saya telah dihubungi SPRM dan beliau sendiri hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan dan ketika itu dia dimaklumkan akan dituduh di mahkamah hari ini,” katanya.

Prosiding hari ini turut dihadiri Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden BERSATU; Ketua Pembangkang yang juga Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Semalam, dalam jawapan bertulis di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata beberapa senarai Surat Setuju Terima yang dikeluarkan menerusi projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) membabitkan ahli keluarga pemimpin utama parti politik tertentu.

Beliau berkata, sebanyak 56 projek mendapat surat terbabit dan keseluruhan projek itu bernilai RM6.3 billion.

Mengulas lanjut katanya, setakat ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum dapat mengenal pasti nilai sebenar projek itu.

“SPRM sudah menjalankan siasatan terhadap isu berkaitan tender rundingan terus.

“Antaranya adalah projek di bawah Jana Wibawa yang mana ia membabitkan projek pembangunan dan infrastruktur,” katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah bilangan dan nilai projek yang terbabit dalam penyalahgunaan kuasa, khususnya tender rundingan terus dan yang membabitkan ahli keluarga pemimpin utama, serta tindakan yang diambil ke atas mereka yang dapat ‘habuan’.

Pada masa sama, Azalina berkata, terdapat juga beberapa tambahan projek lain yang masih dalam tindakan siasatan SPRM.

Kelmarin, SPRM mengesahkan Muhyiddin juga adalah di antara suspek yang disiasat bagi projek Jana Wibawa.

-Berita Harian

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori