SUBANG JAYA – Pasangan kekasih warga India yang dipercayai terbabit kes bunuh dan tanam mayat seorang lelaki di lereng bukit belakang sebuah banglo di daerah ini pada Mei tahun lalu disambung reman selama enam hari.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 30 dan 25 tahun itu disambung reman selepas tempoh reman tujuh hari sebelum ini tamat hari ini.
Katanya, reman terhadap dua suspek terbabit adalah sehingga hari Jumaat depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia yang ditahan sebelum ini sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas reman terhadap mereka tamat Isnin lalu,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seorang lelaki warga asing nekad membunuh suami kekasihnya selepas hubungan sulitnya terbongkar.
Suspek turut bertindak menanam mangsa di belakang lereng bukit belakang sebuah banglo yang juga pusat jagaan orang tua, Mei tahun lalu.
Pembunuhan tragis lelaki berusia 25 tahun itu terbongkar selepas suspek membuat pengakuan pada rakannya.
Sehubungan itu, pihak polis menangkap suspek bersama isteri mangsa, serta dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 25 hingga 35 tahun yang bekerja di banglo terbabit.
-Kosmo Online