ROMPIN: Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki di Jalan Bahau-Keratong, dekat Muadzam Shah, pagi tadi.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Dalam nahas kira-kira jam 10 pagi itu, dua penumpang kereta terbabit, seorang lelaki iaitu suami mangsa serta seorang kanak-kanak turut cedera.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Rosnah Saadon, 56, dari FELDA Bukit Sagu Satu, Kuantan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata kedua-dua kenderaan dipercayai bertembung mengakibatkan bahagian depan lori tangki terbakar manakala kereta terbabit pula remuk teruk.
Katanya, terdahulu, sebuah jentera bersama lima pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah digerakkan ke lokasi sebaik Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Pahang menerima laporan jam 10.03 pagi.
“Terdapat tiga mangsa di dalam kereta berkenaan dan dua penumpang terbabit berjaya dibawa keluar dengan bantuan orang awam.
“Sementara pemandu pula tersepit dalam kereta yang remuk dan kami terpaksa menggunakan peralatan khas menyelamat bagi mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zulfadli berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang tiba di lokasi kejadian manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk rawatan susulan.
Katanya, pemandu lori tangki bagaimanapun tidak cedera.
BHonline-