Kuala Lumpur : Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) melaksanakan tugas mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian gempa bumi di Gaziantep, Turkiye sejak semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kerja-kerja di kawasan lapangan dimulakan oleh 70 pegawai dan anggota pasukan pertama SMART Malaysia selepas mereka diterbangkan ke Turkiye, Isnin lalu.
Agensi Pengurusan Bencana Negara berkata, pasukan itu melaksanakan tugas mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap dalam runtuhan akibat gempa bumi di Nurdagi, Gaziantep.
“Penugasan pasukan SMART di sini adalah bersama-sama pasukan INSARAG dari Qatar yang melakukan tugas mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan.
“Dalam operasi ini juga, pasukan SMART yang turut dianggotai pegawai perubatan dari Kor Kesihatan Diraja, Angkatan Tentera Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut menghulurkan bantuan kecemasan kepada khemah mangsa yang terjejas,” katanya dalam kenyataan menerusi laman rasmi Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), hari ini.
Menurutnya, antara bantuan kecemasan diberikan adalah kepada mangsa yang mengalami serangan jantung.
“Pasukan SMART selamat tiba di Lapangan Terbang Adana, sejak semalam (kelmarin) selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Selasa lalu, sejurus diberikan taklimat mengenai situasi semasa keadaan di Gaziantep.
“Sebaik tiba, pasukan pertama Malaysia ini yang turut membawa peralatan seberat 10 tan untuk operasi SAR bergerak ke Nurdagi menerusi jalan darat dan seterusnya melaksanakan misi menyelamat,” katanya.
Pasukan SMART pertama difahamkan akan ditempatkan di Nurdagi sepanjang berada di Turkiye.
-Harian Metro