RAMALLAH: Pergerakan Boikot, Penjualan dan Sekatan (BDS) menegaskan sektor teknologi Israel adalah ancaman kepada dunia, bukan hanya rakyat Palestin.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ia susulan satu laporan menuduh sebuah firma Israel memanipulasi pendapat umum menggunakan perisian bagi menggodam laman sosial .
Laporan konsortium wartawan antarabangsa yang diketuai oleh Forbidden Stories, Rabu lalu berkata, sebuah firma swasta Israel berusaha untuk mempengaruhi lebih 30 pilihan raya di seluruh dunia melalui penggodaman, sabotaj dan penyebaran maklumat salah.
“Teknologi penindasan Israel ini adalah ancaman kepada dunia, bukan hanya rakyat Palestin,” menurut kenyataan pergerakan BDS yang berpangkalan di Perancis.
Kumpulan itu menggesa dunia memboikot apa yang disifatkannya sebagai penindasan Israel terhadap rakyat Palestin secara khusus dan beberapa negara dunia secara umum.
BDS turut mengulangi gesaan untuk mengenakan sekatan ketenteraan serta-merta ke atas Israel, kata kenyataan itu.
Mereka mendesak komuniti global menghentikan pembiayaan tentera oleh Amerika Syarikat (AS) dan mengharamkan perdagangan senjata dan perisian pengintip Israel.
Firma yang digelar ‘Team Jorge’ oleh pasukan wartawan penyiasat, diketuai oleh bekas operasi pasukan khas Israel, Tal Hanan, bagaimanapun menafikan sebarang kesalahan.
Wartawan melakukan penyamaran sebagai bakal pelanggan untuk mengumpulkan maklumat mengenai kaedah dan keupayaan firma berkenaan.
Syarikat lain turut dinamakan dalam laporan media atau dipersetujui kerajaan Barat sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana peranan mereka cuba mempengaruhi pilihan raya dan pendapat umum.
Firma perunding British terkenal, Cambridge Analytica – sejak ditutup – didakwa digunakan untuk membangunkan perisian memandu pengundi ke arah Donald Trump dalam pilihan raya presiden AS 2016.
Berikutan pendedahan terbaru itu, Israel mungkin menghadapi tekanan lebih tinggi untuk mengekang sektor perisian siber dan teknologi canggihnya yang menjadi perhatian dalam satu lagi penyiasatan media diketuai oleh Forbidden Stories pada 2021.
Ia menjelaskan bagaimana perisian pengintip Pegasus buatan Israel yang berkuasa sudah dijual oleh syarikat risikan siber NSO Group Technologies kepada kerajaan dan digunakan terhadap sekurang-kurangnya 50,000 orang di seluruh dunia.
Beberapa sasaran yang dikenal pasti termasuk pembela hak asasi manusia dan pemimpin agama, serta ahli politik seperti Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Forbidden Stories ialah pentas kerjasama yang ditubuhkan pada 2017 atas inisiatif pembuat dokumentari Perancis, Laurent Richard, dengan sokongan Reporters Without Borders, menghimpunkan lebih 30 saluran media berbeza dari seluruh dunia.
BHonline-