PUTRAJAYA : UMNO sedia mempertimbangkan rayuan pemimpin dan ahlinya yang digantung, baru-baru ini atas kesalahan melanggar disiplin parti.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Timbalan Perdana Menteri, yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rayuan itu akan diteliti Lembaga Disiplin parti, sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada untuk menerima atau menolak rayuan itu.
Beliau berkata, setakat ini, parti belum menerima rayuan daripada mereka yang digantung, termasuk bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
“Setakat ini, saya belum terima apa-apa surat rayuan daripada mana-mana pihak. Saya akan terima tapi biarkan Lembaga Disiplin untuk teliti,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian UMNO Johor, yang mahu Hishammuddin dan Maulizan, mengemukakan rayuan dan membela diri terhadap pertuduhan serta sabitan yang dikenakan terhadap mereka.
Sebelum ini, Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dilaporkan berkata, tindakan disiplin dan penggantungan pemimpin UMNO negeri itu tidak akan menjejaskan UMNO Johor.
Pada 27 Januari lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilaporkan menggantung keahlian Hishammuddin dan Maulizan, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, selama enam tahun, selain memecat lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang.
-Berita Harian