JOHOR BAHRU : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi peneraju dalam penyelidikan berasaskan teknologi untuk membawa transformasi pendigitalan bagi negara.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu penting kerana ia akan membantu negara untuk bersaing, selain bagi membangunkan ekonomi negara.
Menurut beliau, sudah tiba masanya universiti itu meningkatkan peranan dan sumbangannya untuk negara serta masyarakat.
“Sebagai sebuah universiti yang berasaskan kepada teknologi, saya telah meminta supaya UTM menjadi peneraju dalam soal kita hendak membawa transformasi pendigitalan untuk negara dan ia sangat penting kerana akan membantu negara bersaing dan juga dalam soal kita hendak membangunkan ekonomi kita.
“Itu yang saya kata kalau kita nak melonjakkan kemajuan ekonomi, ekonomi mestilah berasaskan kepada inovasi.
“Jadi dengan misinya sebagai sebuah universiti yang menginovasi penyelesaian, saya rasa ini sangat tepat skali dan sudah smpai masanya universiti-universiti dalam negara terutamanya UTM meningkatkan keterlihatannya dan sumbangannya untuk negara dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan kunjungan ke UTM Skudai di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh serta Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.
UTM adalah universiti awam keempat dikunjungi Mohamed Khaled dalam siri lawatan kerjanya sebagai menteri ke institusi pengajian tinggi.
Mohamed Khaled berkata, pihak kementerian juga akan memberi sokongan penuh kepada universiti itu untuk meneruskan peranan dan juga tanggungjawab mereka yang bukan sahaja dari segi mengeluarkan graduan yang diperlukan negara, tetapi untuk meningkatkan keberhasilan penyelidikan mereka.
Menurut beliau, kadar kebolehpasaran graduan UTM melebihi 90 peratus, manakala 30 peratus graduan univerisiti itu mendapat pendapatan premium dengan gaji minima RM4,000 sebaik memasuki bidang pekerjaan.
“Satu lagi kekuatan yang ada pada UTM apabila mendapat kerjasama begitu baik dengan industri dan banyak hasil-hasil penyelidikan UTM yang diaplikasikan sama ada kepada komuniti atau kepada usaha kerajaan dalam menjalankan peranan dan tanggjawabnya,” katanya.
-Berita Harian