Putatan : Seramai 160 pelajar ditahan selepas terbabit pelbagai jenayah di Sabah dari Januari hingga Disember tahun lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, untuk itu, kerjasama tersusun dan bersistematik antara sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta PDRM yang diwujudkan perlu diteruskan dari semasa ke semasa.
“Daripada jumlah itu, seramai 140 pelajar adalah pelajar lelaki manakala selebihnya adalah pelajar perempuan.
“55 pelajar ditahan selepas terbabit dalam kes merusuh yang disiasat mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya ketika berucap pada Program 1st Day At School di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Muddin Beting.
Mengulas lanjut, Idris berkata, ia diikuti dengan 21 pelajar yang melakukan kesalahan mencederakan dan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Katanya, seramai 20 lagi pelajar lelaki ditahan atas kesalahan rogol manakala selebihnya membabitkan kesalahan mencuri iaitu 14 pelajar lelaki dan lima pelajar perempuan.
“Jumlah ini adalah satu angka yang membimbangkan kerana pelajar adalah generasi masa depan yang akan mencorakkan negara umumnya.
“Daripada 160 pelajar yang ditahan, hanya sembilan dibebaskan tanpa syarat selepas selesainya siasatan.
“149 pelajar lagi dibebaskan atas jaminan polis yang berkemungkinan akan dituduh di mahkamah. Manakala dua lagi sudah dituduh di mahkamah atas kesalahan merusuh dan mencuri,” katanya.
-Harian Metro