JAKARTA : Sekurang-kurangnya 17 orang maut dan 50 lagi cedera dalam kebakaran membabitkan sebuah stesen simpanan bahan api yang dikendalikan syarikat tenaga Indonesia, Pertamina di Jakarta.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 8 malam (waktu tempatan) semalam mengakibatkan beberapa rumah berdekatan turut dijilat api.
Rakaman televisyen menunjukkan penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran melarikan diri dengan membawa barang mereka.
Menurut jurucakap Pertamina, kebakaran itu berjaya dipadamkan kira-kira pukul 10.30 malam (waktu tempatan).
Bagaimanapun, jabatan bomba menerusi laman Instagram memaklumkan, api masih dikesan di kawasan kediaman selepas kejadian itu.
Dalam pada itu, seorang pegawai di jabatan bomba, Rahmat Kristanto mengesahkan dua kanak-kanak antara mangsa yang maut dalam kebakaran itu.
“Seramai 50 orang lagi cedera termasuk seorang kanak-kanak,” katanya.
Pemangku Gabenor Jakarta, Heru Budi Hartono memaklumkan kebanyakan mangsa cedera akibat melecur dan kerajaan akan menanggung kos perubatan mereka.
Sementara itu, Pertamina dalam satu kenyataan menyatakan punca kebakaran masih disiasat dan usaha menyelamat masih berterusan.
Jelas syarikat itu, bekalan minyak untuk Jakarta masih selamat dan pihaknya merancang untuk mengalihkan bekalan itu ke terminal lain.
-Utusan Online