Kuala Lumpur : Sebanyak 31,600 surat tawaran haji dikeluarkan Lembaga Tabung Haji (TH) mulai Rabu ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Sri Amrin Awaluddin berkata, ia akan diedarkan secara berperingkat kepada jemaah terpilih.
“Jemaah boleh semak bermula Rabu ini melalui aplikasi THiJARI atau untuk kes tertentu boleh terus mengunjungi mana-mana cawangan berdekatan.
“Jemaah perlu lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat berkenaan dalam tempoh tujuh hari bekerja,” katanya ketika sidang media pengumuman kos, bayaran dan bantuan kewangan haji 2023 di Menara TH, di sini, hari ini
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata surat tawaran berkenaan dikeluarkan mengikut tiga kategori jemaah muassasah yang ditetapkan.
“Surat tawaran dikeluarkan mengikut kategori masing-masing. Bagi jemaah dari kategori B40, ia mewakili 50 peratus daripada keseluruhan jemaah musim haji kali ini.
“Manakala jemaah dalam kategori M40 mewakili 48 peratus dan dua peratus lagi jemaah kelompok T20,” katanya.
Amrin turut berkata, TH menggalakkan jemaah yang berkemampuan supaya membuat bayaran penuh.
“Anggaran kita, dalam tempoh lima tahun akan datang,TH akan tanggung RM 2.71 bilion (bantuan kewangan haji) kerana kos naik mendadak.
“Jika kita tidak pass kos ini kepada jemaah, lebih tinggi kos (bantuan kewangan) perlu ditanggung,” katanya.
Katanya, tahun lalu, sejumlah 47 jemaah yang layak menerima bantuan kewangan haji termasuk kelompok B40 memilih melakukan bayaran penuh.
“Ada termasuk jemaah B40 sukarela tampil untuk bayar penuh…mereka juga kata mahukan haji yang mabrur. Jadi kita serujika ada yang mampu..supaya lebih ramai buat bayaran penuh,” katanya yang turut memberitahu, TH sedia berunding dengan jemaah yang ingin membayar kos tambahan mengikut kadar tertentu termasuk mungkin lebih rendah berbanding jumlah asal.
-Harian Metro