WASHINGTON – Sebuah jet pejuang Russia didakwa memintas dron MQ-9 Reaper milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) semalam dan merosakkan kipasnya, sebelum ia jatuh di Laut Hitam, demikian menurut tentera AS seperti dilaporkan stesen penyiaran CNN.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketika kejadian, dron milik AS itu dan dua jet pejuang Su-27 kepunyaan Russia sedang terbang di kawasan perairan antarabangsa di Laut Hitam apabila salah sebuah jet tersebut didakwa sengaja terbang di hadapan MQ-9 Reaper.
Ia kemudian membuang bahan api ke atas dron tanpa pemandu itu, kata kenyataan daripada Komando AS-Eropah.
Pesawat itu kemudian menyebabkan kipas dron tersebut rosak lalu memaksa tentera AS untuk menjatuhkan dron itu ke Laut Hitam.
Jurucakap Pentagon, Brigedier Jeneral Patrick Ryder menyatakan bahawa jet pejuang Russia terbang di sekitar dron tersebut selama 30 hingga 40 minit sebelum melanggarnya sejurus selepas 7 pagi (waktu Eropah Tengah).
“Pesawat MQ-9 kami sedang menjalankan operasi rutin di ruang udara antarabangsa apabila ia dipintas dan dilanggar oleh pesawat Russia, lantas mengakibatkan nahas serta kemusnahan sepenuhnya MQ-9.
“Tindakan tidak selamat dan tidak profesional oleh Russia ini hampir menyebabkan kedua-dua pesawat terhempas,” kata Komander Tentera Udara AS di Eropah dan Tentera Udara Afrika, Jeneral James B. Hecker.
Insiden itu menandakan kali pertama pesawat tentera Russia dan AS berlanggar secara langsung sejak Moscow melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine lebih setahun lalu dan berkemungkinan insiden tersebut meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara.
Kosmo-