PENGERANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) memberi jaminan, bekalan sayur di Johor menjelang Ramadan, mencukupi walaupun beberapa daerah di negeri ini masih dilanda banjir.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sudah mengambil langkah, termasuk membawa masuk bekalan dari negeri lain bagi memastikan permintaan pada bulan puasa ini dapat dipenuhi.
“Insya-Allah kerana FAMA sudah maklumkan, kita sudah bawa masuk dari tempat lain bagi memenuhi permintaan pada bulan Ramadan.
“Bekalan ini kita dapat dari negeri luar seperti Pasar Borong Selayang, Negeri Sembilan pun ada, selain import dari Cameron Highlands terutama, tomato dan sayur-sayur berbentuk biji bukan berdaun,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Nelayan Pengerang di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pengerang di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurut Mohamad, walaupun pengeluaran sayur menunjukkan penurunan 30 peratus akibat banjir, dalam tempoh pasca banjir, pengeluar sudah mula menanam semula sayur.
Beliau berkata, FAMA turut bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyediakan Bazar Rakyat Agro Johor di 35 lokasi yang terjejas banjir.
“Daripada pertemuan FAMA dengan pengeluar terutamanya di Segamat, Batu Pahat dan Kota Tinggi memang ada sedikit penurunan pengeluaran 30 peratus.
“Tetapi, banjir pun dah surut, mereka sudah mula tanam balik. Ditambah pula dengan kerjasama kerajan negeri yang memberi peruntukan untuk mengadakan Bazar Rakyat Agro Johor di kawasan terjejas banjir selama 30 hari sepanjang Ramadan ini,” katanya.
Mengenai anggaran kerugian yang ditanggung akibat banjir, beliau berkata bancian masih dijalankan FAMA dan ia dijangka mengambil masa kira-kira sebulan untuk mendapatkan perincian penuh.
Sementara itu, mengulas mengenai majlis berkenaan, Mohamad berkata, kerajaan memperuntukkan RM29 juta bagi menaik taraf infrastruktur di Kompleks LKIM Pengerang itu bagi kegunaan nelayan setempat dengan projek itu dijangka siap tahun depan.
“Dalam siri lawatan ini, kita turut menyampaikan bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) kepada 408 nelayan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM122,400.
“Kita juga menyampaikan lesen sampan khas kepada 47 nelayan kategori A di Johor serta bantuan banjir sebanyak RM200 dan ‘Food Basket’ selain bantuan jaket keselamatan kepada 465 nelayan Pengerang,” katanya.
BHonline-