Kuala Lumpur : Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan dirinya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika bermain golf, hari ini.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Muhyiddin dalam satu hantaran Facebook berkata berita kononnya beliau ditahan ketika sedang bermain golf yang dilapor sebuah portal berita itu adalah palsu.
“Saya ingin menjelaskan berita saya ditahan di padang golf hari ini yang disebarkan oleh sebuah portal berita adalah palsu.
“Hari ini saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang akan bermula Jumaat,” menurut hantaran itu, hari ini.
Dalam hantaran sama, Ahli Parlimen Pagoh itu mengesahkan diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 11 pagi, esok.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, Setiausaha Akhbar Muhyiddin, Hafiz Abdul Halim menafikan laporan berita dimuat naik portal terbabit.
Portal itu dalam laporannya memetik sumber mendakwa Muhyiddin ditahan ketika bermain golf di sebuah kelab golf sekitar Selangor hari ini.
-Harian Metro