Georgetown : Seorang buruh kontrak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh anggota polis berpangkat Lans Koperal, minggu lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Bagaimanapun, tertuduh, S Ramesh, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Mohamad Azril Syamil Mohamad Hanafi, 29.
Perbuatan itu dilakukan di Rumah Nombor 10A, Lebuh Thean Teik di Timur Laut di sini, jam 12.05 tengah malam pada 1 Mac lalu.
Advertisement
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Jin Hong tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh namun Ramesh yang bekerja sebagai buruh kontrak dengan pendapatan sekitar RM1,300 sebulan meminta supaya dibenarkan jamin.
Hakim bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai berdekatan setiap bulan selain tidak menghampiri mangsa sehingga perbicaraan selesai.
Kes akan disebut semula pada 11 April ini.
Terdahulu, media melaporkan, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal luka dan retak di kepala akibat ditetak dengan pisau pemotong daging.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dipetik berkata, dalam kejadian itu, suspek didapati menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum diekori sejauh 150 meter oleh anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah.
Ketika ditahan, suspek melakukan provokasi ke atas dua anggota berkenaan serta menyerang dan menetak seorang daripadanya sebelum melarikan diri dengan meninggalkan motosikal.
-Harian Metro