ISTANBUL: China semalam mendakwa Washington tidak memberikan sebarang bukti bahawa aplikasi perkongsian video TikTok menjadi ancaman terhadap keselamatan Amerika Syarikat (AS).
Ikuti Mynewshub: Telegram
“AS belum membuktikan bahawa TikTok mengancam keselamatan negara itu,” lapor Agensi Anadolu yang memetik kenyataan jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, pada sidang media di Beijing.
Wenbin mendakwa Washington menyebarkan maklumat salah dan menyekat TikTok.
“AS wajar berhenti menyebarkan maklumat salah mengenai keselamatan datanya, berhenti menindas syarikat berkaitan, menyediakan persekitaran yang terbuka, adil serta tidak mendiskriminasi perniagaan asing untuk melabur beroperasi di AS,” katanya.
Kebimbangan Beijing terhadap kemungkinan Washington bertindak terhadap TikTok timbul selepas pemilik daripada China mendakwa pentadbiran Presiden Joe Biden meminta mereka menjual saham dalam syarikat itu atau aplikasi terbabit berdepan risiko diharamkan di AS.
“China percaya keselamatan data tidak boleh digunakan sebagai alat untuk menyalahgunakan konsep keselamatan negara dan kuasa negara untuk menindas syarikat asing,” kata Wenbin.
Menurut eksekutif platform itu, 60 peratus saham syarikat induk TikTok, ByteDance dimiliki oleh pelabur asing, 20 peratus oleh pekerja dan 20 peratus lagi oleh pengasasnya.
Bernama-