KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat meluluskan usul tergempar bagi membincangkan bencana banjir yang berpunca daripada perubahan iklim.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Usul tersebut dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) akan dibincangkan pada jam 1 petang Selasa.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor berkata, usul tersebut telah diterima Yang Dipertua, Datuk Johari Abdul pada Jumaat lalu.
Menurutnya, setelah diteliti, Johari berpandangan usul tersebut memenuhi tiga syarat iaitu perkara itu tertentu; bagi kepentingan orang ramai serta perlu disegerakan.
“Yang Dipertua setelah meneliti perkara ini dan mendapati usul YB Kluang pertama, perkara ini tertentu; ia berkepentingan orang ramai iaitu bagi masyarakat dan ketiga ia berkehendakan disegerakan.
“Perkara itu juga disegerakan usul dan ini akan dirunding pada jam 1 petang ini,” katanya.
Ia kemudian dipersetujui untuk dibincangkan melalui undian suara, selepas dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Bin Mohd Ali.
Shu Qi dalam surat usul menggesa kerajaan untuk mengambil langkah yang lebih pro-aktif untuk melindungi nyawa dan harta rakyat yang terancam dengan perubahan iklim.
Katanya, banjir di Johor yang melanda semua 10 daerah dan menyebabkan kerosakan kepada beberapa pekan di Johor kali ini lebih serius berbanding dengan bencana banjir pada tahun 2006 dan 2007.
“Kerajaan perlu menambah prosedur operasi standard (SOP) pelepasan air empangan untuk mengatasi cuaca yang melampau, misalnya dengan melepaskan air empangan sebelum paras air sungai meningkat ke aras berbahaya.
“Kerajaan perlu bersikap lebih telus dalam perancangan pelepasan air empangan supaya rakyat yang berada di sekitar kawasan berpeluang untuk mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kerugian harta atau lebih buruk lagi kehilangan nyawa,” katanya.
Dalam pada itu, Shu Qi turut mahu kerajaan bersiap siaga dengan memastikan bekalan barangan asas bagi pusat pemindahan sementara (PPS) adalah sentiasa mencukupi sepanjang tahun bagi persediaan menghadapi bencana banjir.
-Sinar Harian