KUALA TERENGGANU: Penduduk Kampung Merbau Menyusut di Setiu, dekat sini, dinasihatkan tidak melakukan aktiviti berhampiran hutan bagi mengelak diserang harimau belang yang dipercayai masih berkeliaran di kawasan berkenaan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kehadiran harimau di kawasan kampung itu dikesan selepas seorang penternak mendakwa lima lembu peliharaannya hilang dipercayai dibaham haiwan liar itu.
Ia susulan penemuan tapak kaki haiwan terbabit berhampiran bangkai seekor daripada lima lembu peliharaan yang hilang itu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Loo Kean Seong, berkata siasatan awal mendapati harimau terbabit dipercayai datang dari kawasan Hutan Simpan Hulu Nerus yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
Beliau berkata, pihaknya sedang memantau keadaan di lokasi dengan perangkap juga akan dipasang sekiranya perlu.
“Buat masa sekarang kita masih memantau dan tidak pasti sama ada haiwan terbabit yang dipercayai ibu dan anak masih berada di kawasan berkenaan atau sudah kembali ke kawasan hutan.
“Justeru, penduduk dinasihatkan tidak menghampiri atau melakukan aktiviti sama ada berkebun atau kerja ladang sawit di kawasan berkenaan.
“Setakat ini kita mengesahkan hanya dua lembu dipercayai menjadi mangsa haiwan berkenaan dan bangkai seekor daripada dua haiwan berkenaan masih di lokasi kejadian,” katanya.
Semalam, seorang penternak mendakwa kerugian hampir RM13,000 apabila lima lembu peliharaannya untuk tujuan korban sempena Aidiladha hilang.
Kehilangan haiwan peliharaannya itu disedari sejak kelmarin dan penternak mendakwa terserempak anak harimau belang di kawasan ladang sawit pagi semalam ketika mencari lembu yang hilang di kawasan ladang sawit.
BHonline-